19Ogos2018

Alahai letih masalah Proton belum reda…Dr Mahathir umum impian kereta nasional baru

Semua orang tahu projek kereta nasional Proton adalah adalah usaha yang gagal dan cukup bermasalah.Ia cuma setakat gah pada nama dimana orang Malaysia boleh sebut kita ada kereta sendiri.
 
Sebaliknya projek impian Tun Dr Mahathir Mohamad yang bermula pada 1984 terlalu banyak membazir wang negara.
 
Sejak itu untuk membantu projek itu terus bernafas kerajaan memberi pelbagai bantuan kewangan, termasuk pinjaman mudah dan geran berjumlah RM15.3 bilion.
 
Malah kegagalan Proton telah menjadi salah satu legasi cacat pentabirannya sebagai Perdana Menteri pusingan pertama selama 22 tahun.
 
Tiba-tiba ditengah kerajaan Pakatan Harapan yang baru ambilalih kuasa memekak sana sini kononnya hutang negara cecah 1 trilion dan mungkin terpaksa tangguh laksana beberapa janji pilihanraya ,Dr Mahathir buat satu pengumuman mengejut pada Isnin.
 
Berucap di persidangan tahunan Nikkei di Tokyo Perdana Menteri mencadangkan pengeluaran kereta nasional baru selepas pemilikan Proton kini sebahagiannya telah dijual kepada syarikat China, Geely.
 
“Malaysia ada cita-cita untuk memulakan satu lagi projek kereta nasional yang boleh dijual ke pasaran dunia,” katanya.
 
Beliau memberitahu kemungkinan juga projek ini akan turut membabitkan rakan-rakan negara ASEAN yang lain.
 
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan akan mengambil alih semula Proton pada sesi dialog sidang itu.
 
Perdana Menteri sudah tentu kena cerita lebih jelas kepada rakyat jelata apa hal pula dengan cadangan projek kereta nasional baru ini.
 
Ramai orang tahu dan letih dengar tentang cerita masalah Proton dari dulu.
 
Proton kini diambil alih syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd yang mengambil alih 49.9% saham Proton dan baki 50.1% ekuiti dipegang DRB-Hicom.

Sementara itu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi facebook beliau kata kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya meneruskan projek pengangkutan awam seperti Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3) daripada memulakan satu lagi syarikat kereta nasional.
 
Beliau berkata kerajaan tidak harus melaksanakan semula langkah-langkah pelindung yang hanya membebankan rakyat dengan harga kereta dan kos pembiayaan yang tinggi.
 
"Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya jadikan satu keutamaan untuk mengurangkan harga kereta secara beransur-ansur menerusi pengurangan cukai beransur-ansur dan dengan memperkenalkan insentif sambil memperluas projek pengangkutan awam," katanya.
 
Beliau mendakwa susulan itu, harga kereta kini semakin murah berbanding sewaktu beliau mula-mula menjadi perdana menteri manakala penggunaan pengangkutan awam melonjak.
 
"Bagi jangka panjang, langkah untuk membetulkan masalah legasi masa lalu akan memberi manfaat kepada rakyat dengan penjimatan ratusan bilion ringgit sambil menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih cekap, keberkesanan kos, kurang sesak dan kurang mencemarkan.
 
"Jangan batal projek-projek pengangkutan awam sedemikian hanya kerana saya yang mulakan dan kembali kepada projek semata-mata atas faktor kebanggaan yang akan lebih memudaratkan rakyat," katanya.
 
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin turut tampil mempersoalkannya. 
 
Menerusi satu kenyataan bekas Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan cadangan Dr Mahathir itu langkah regresif dan terkebelakang.
 
Katanya kerajaan perlu memperhalusi projek kereta nasional baru kerana ia akan memakan belanja besar.
 
Menurut Khairy dana sepatutnya digunakan untuk membangunkan serta menambah baik sistem pengangkutan awam.
 
“Melainkan projek kereta nasional baru ini akan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya, saya tidak nampak kebaikan dan manfaatnya kepada rakyat, ekonomi negara dan alam sekitar.
 
“Ini juga banyak bergantung kepada kemampuan kita dalam mencapai ekonomi skala atau ‘economies of scale’. Kalau skala pengeluarannya kecil, sasaran impak ekonomi yang diingini mungkin tidak akan dicapai,” katanya.
 
Khairy berkata, kerajaan memberi pelbagai bantuan kewangan, termasuk pinjaman mudah dan geran berjumlah RM15.3 bilion kepada Proton sejak 1984.
 
“Projek kereta nasional seperti ini akan menambah kos kepada rakyat melalui duti eksais mencecah 105% yang membebankan pengguna ingin membeli kereta jenama (lain) selain kereta nasional.
 
“Saya berharap keutamaan masa dan sumber dapat diberikan kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam seperti kerjasama dengan pihak swasta dalam menambah baik ‘last-mile connectivity’ seperti solusi e-hailing dengan menggunakan kenderaan dan motosikal.
 
“Kajian menyeluruh dari segi kemungkinan (feasibility) termasuk bagaimana untuk mengurangkan kos untuk projek MRT3 dihidupkan semula pada masa akan datang atau dengan menggunakan sistem lebih menjimatkan kos seperti Bas Rapid Transit (BRT) yang tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja.”
 
Jurucakap Publisiti MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker melalui kenyataan berkata, pengumuman itu dibuat tanpa berunding dengan Kabinet telah menyerlahkan sikap kuku besi yang diamalkan oleh Dr. Mahathir.
 
Sedangkan, ujar beliau, ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram sendiri pada tahun 1980-an pernah membantah projek kereta nasional kerana dianggap tidak menguntungkan.
 
Perkara itu, katanya, terbukti apabila projek Proton tidak berjaya dan hanya menghabiskan wang berbilion ringgit yang sepatutnya digunakan bagi membangunkan kemudahan pengangkutan awam.
 
“Apakah semua projek ini hanya untuk memuaskan rasa bangga seorang pemimpin sahaja?” katanya.
 
Lian Ker juga bimbang dengan sikap buta geografi Dr. Mahathir kerana mengehadkan Dasar Pandang Timur kepada Jepun dan Korea sahaja, sedangkan China adalah negara terbesar di Asia Timur.
 
“Adakah sentimen anti-Sino yang dimainkan oleh Dr Mahathir menyebabkan dia menganggap bahawa Geely dan China bukanlah Asia Timur?” katanya.
 
Sementara itu, beliau menambah, keinginan untuk menceburkan dengan projek kereta kebangsaan lain seharusnya memikirkan kewangan negara haruslah sihat dan pengangkutan awam perlulah maju dan lancar.
 
“Pengangkutan awam sangat penting kerana ia dapat menjimatkan masa dari kesesakan lalu lintas,” katanya.
 
MCA, juga katanya, bimbang pembatalan projek MRT3 dan Kereta Api Laju KL-Singapura serta pada masa sama ECRL dikaji semula, akan disalah erti oleh negara China dan dikhuatiri negara kuasa ekonomi dunia itu akan melaksanakan boikot terhadap Malaysia secara tidak rasmi.
 
China, jelas beliau, telah melaksanakan dasar berkenaan terhadap Korea Selatan dengan tidak menggalakkan pelancong dari China ke negara berkenaan dan pada yang sama tidak menggenakan peraturan ketat terhadap barangan yang diimport dari negara terbabit.

Apa macam pimpinan PKR,DAP atau PAN?

Apakah tidak berani lagi bersuara mengenai cadangan Dr Mahathir nak adakan projek kereta nasional baru.

Dulu masa belum berpeluk mesra dalam politik bukan main sakan tibai macam-macam tentang Proton,- 11/6/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 493  tetamu dalam talian