20Disember2014

Nasharudin tidak tersenarai sebagai calon PAS: Nik Aziz

nash-n-nik-aziz-513
KEMASKINI: Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa tidak disenaraikan sebagai calon PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bagaimanapun tidak menjelaskan sebab bekas Timbalan Presiden PAS itu tidak dicalonkan lagi.


"Seingat saya nama dia tidak disenaraikan dalam pencalonan kawasan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka di Kota Bharu,Isnin.

Bernama melaporkan,Nik Abdul Aziz diminta mengulas laporan mengenai pengguguran Nasharudin dalam Majlis Syura Ulama PAS pada 13 Januari lalu.
 
Menyifatkannya sebagai bukan satu tindakan yang pelik, Nik Abdul Aziz menyamakan pemecatan itu sebagai perceraian suami isteri dan persatuan sukan.
 
"Pelik apanya? Suami isteri lagikan bercerai. Persatuan bola sepak pun ada orang pecat. Jurulatih pun kena pecat," katanya, sambil menambah bahawa Nasharudin masih kekal sebagai anggota parti itu.
 
Nik Abdul Aziz bagaimanapun enggan mengulas sama ada pengguguran Nasharuddin itu disebabkan masalah dalaman lain.
 "Itu saya tak mahu sebut pasal keburukan orang dan setiap apa yang berlaku itu ada kaedahnya," katanya.
 
Nasharudin Isnin dilaporkan berkata beliau belum dimaklumkan secara rasmi mengenai penggugurannya daripada Majlis Syura sebaliknya hanya mengetahui berhubung perkara itu melalui media.
 
Laporan sebelum ini menyebut Majlis Syura menyingkirkan Nasharudin kerana beliau kerap tidak hadir mesyuarat selain sering membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian dan ketetapan majlis berkenaan. - 28/1/2012


Akhirnya....Nasharudin dipecat dari Majlis Syura PAS

Seperti dijangka, bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa akhirnya dipecat daripada keahlian Majlis Syura – badan tertinggi parti PAS atas alasan melanggar peraturan berjamaah.

Tindakan terhadap ahli parlimen Bachok itu diputuskan dalam mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Untuk rekod, dalam mesyuarat itu juga majlis tersebut membuat keputusan mengenai kalimah Allah setelah isu itu menjadi polimek hangat.

Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh yang mengesahkan pemecatan Ustaz Nasha berkata, keputusan itu dibuat kerana Nasharudin didapati melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti ditetapkan Majlis Syura.

Selain dikatakan tidak hadir mesyuarat, Nik Zawawi enggan mengulas sebab-sebab lain sehingga mendorong Majlis Syura mengambil tindakan tersebut.

Katanya, surat pemecatan sudah diserahkan kepada Nasharudin selepas mesyuarat berkenaan.

Nasharudin mencetuskan polemik dalam PAS berhubung beberapa kritikannya terhadap keputusan parti itu yang kerap tunduk terhadap desakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang terutama DAP.

Antaranya tentangan Nasharudin terhadap kenyataan Pengerusi DAP,Karpal Singh yang disifatkannya bukan sahaja anti hudud tapi anti Islam.

Beliau juga menggesa PAS mengkaji semula hubungan parti itu dalam pembangkang.

Ekoran itu, Karpal mengatakan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Nasharudin.

Ketika isu tersebut masih panas, Majlis Syura pada mesyuaratnya 9 September 2012 dijangka mengambil tindakan terhadap Nasharudin.

Bagaimanapun,selepas mesyuarat berakhir, Presiden PAS, Datuk SeriAbdul Hadi Awang berkata, perkara mengambil tindakan terhadap Nasharudin tidak dibincangkan.

Apapun, Nasharudin sudah dianggap ‘habuk dalam mata’ oleh sesetengah pemimpin PAS yang pro kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka kerap mengaitkan ahli parlimen Bachok itu dengan usaha membincangkan kerjasama kearah perpaduan antara PAS dan UMNO.

Manakala, Nik Aziz pula dilihat mempunyai masalah peribadi dengan Nasharudin malah krisis mereka meruncing ketika pilihanraya kecilManik Urai apabila penyokong dan pengundi PAS mahu ustaz Nasha hadir berkempen tetapi dikatakan mendapat tentangan PAS Kelantan.

Ketika dilihat seakan disisihkan PAS, Nasharudin menyertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan dengan beberapa pemimpin dan ulama tersohor di Mekkah, sempena persidangan luar biasa OIC tahun lalu.

Ketika Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke majlis perkahwinan anak Nasharudin, timbul desas desus beliau akan menyertai UMNO tetapi Nasharudin menegaskan tidak sesekali akan meninggalkan PAS.-27/1/2013- OLEH ROSLAN BIAN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 728  tetamu dalam talian