01November2014

Bubar DUN Selangor: Drama ding dong Khalid jalan terus...

pil-poster513
khalidibrahim513
KEMASKINI:Kalau siapa mengikut dari dekat isu Tan Sri Khalid Ibrahim kata nak bubar Dewan Undangan Negeri Selangor boleh naik pening kepala.Dulu kata nak lambat,kemudian kata nak cepat,semalam kata nak serentak dengan kerajaan Pusat dan hari ini Rabu...lain pula bunyinya.

Apakah Menteri Besar Selangor itu nak main strategi 'sorok-sorok' dalam semak atau sudah tidak ada idea lain nak bikin gamat menjelang pilihanraya umum ke 13 yang akan diadakan tidak lama lagi?

Dalam sidang akhbar biasanya selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri,Khalid memberitahu semasa mengadap Sultan Selangor sebelum mesyuarat beliau antara lain ada membincangkan soal pembubaran DUN Selangor.

Katanya Sultan Selangor perkenaan jika kerajaan negeri hendak bubar bila-bila masa.

"Sultan tidak halang pembubaran itu,  Tuanku cadangkan ia dibuat dengan tertib dan teratur," katanya.

Menurut Khalid tarikhnya belum ditetapkan lagi dan beliau akan umum pada waktu yang sesuai.

Pada wartawan yang hadir pada sidang akhbar kali ini  tertanya-tanya sesama sendiri bila tengok Khalid diapit oleh semua barisan Exco Kerajaan negeri.

Biasanya masa sidang akhbar selepas mesyuarat Exco pada setiap Rabu hanya dua tiga orang Exco sahaja yang hadir.

Suasananya acahnya macam sudah nak umum sangat-sangat dah....tapi tak juga.

Dalam pada itu Khalid cuba bermain teka teki lagi bila beliau mengulangi kenyataan beliau Selasa (semalam) bahawa Kerajaan Negeri Selangor tiada masalah untuk membubarkan DUN serentak dengan Parlimen.

Pada 30 Januari lalu,Khalid cuba bikin panas kata nak bubar DUN selepas perayaan Chap Goh Mei pada 25 Februari ini jika kerajaan pusat tidak umum apa-apa keputusan pada waktu itu.-20/2/2013





Akhirnya MB Khalid baru ada akai...Selangor setuju

Ingat dak...acah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 30 Januari lalu tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor akan diumumkan selepas sambutan Chap Goh Mei masyarakat Cina pada 25 Februari ini.

Jika betul itu bermakna pilihanraya DUN Selangor akan dibuat lebih awal dan berasingan dengan negeri-negeri lain.

Katanya langkah itu akan diambil jika pada waktu itu kerajaan pusat masih tidak umum apa-apa mengenai pembubaran Parlimen.

Ramai pemerhati politik menilai kenyataan itu hanya 'gempak saja' dalam cubaan untuk dorong Datuk Seri Najib Tun Razak tunduk kepada tekanannya.

Lebih memalukan, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sendiri tidak setuju nak ikut Selangor dan kata negeri pimpinanya itu akan ikut pengumuman Perdana Menteri nanti.

Akhir seperti diduga...Khalid terpaksa telan balik acahnya itu.

Bercakap kepada wartawan selepas satu majlis di Shah Alam Selasa,beliau kata Kerajaan negeri Selangor akur supaya pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya parlimen.

Katanya perkara itu telahpun disepakati semua Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) daripada pakatan pembangkang.

"Kami setuju supaya tarikh pilihan raya ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan kami tidak keberatan supaya pilihan raya negeri dilaksanakan serentak dengan pilihan raya Parlimen," katanya- 19/2/2013





Acah bubar DUN Selangor: Khalid terjerat...


Silap haribulan ini yang dikatakan sengaja nak cari penyakit.Tak taulah samaada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah mengatur suatu strategi cukup istimewa yang tersimpan rapi dalam poketnya untuk buat kejutan.

Apapun selain menunggu Datuk Seri Najib Tun Razak palu gong Pilihanraya Umum ke 13,pasti ramai yang akan terus mengintai gerak langkah Menteri Besar Selangor itu.

Ini gara-gara kenyataan beliau pada 30 Januari lalu yang dinilai tidak lebih dari acah saja nak bubar Dewan Undangan Negeri Selangor selepas sambutan Chap Goh Meh pada 25 Februari ini.

Alasan beliau konon hendak mendesak Perdana Menteri agar segera mengumumkan tarikh PRU13 terus dilihat macam satu jenaka.

Apa tidaknya...kalau rakan sejawatnya dari Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri sudah kata mereka nak ikut tarikh pembubaran Parlimen yang akan diumumkan oleh Najib.

Kedah juga dijangka akan ikut langkah itu.

Dari kaca mata dikhalayak ramai ini saja sudah tunjuk tiadanya kesepakatan dalam pendirian politik pakatan pembangkang.

Hebat juga kalau Khalid merasakan Najib perlu tunduk pada tekananya.

Setakat ini tidak kedengaran mana-mana pimpinan utama Barisan Nasional yang ambil serius acah Khalid itu.

Rasanya bukan semua orang mudah lupa ding dong Khalid dalam soal tarikh pilihanraya.Asalnya beliau nampak macam tegas mahu ia lambat diadakan bagi membolehkan kerajaan negeri selesai laksanakan segala program yang dirancang.

Bukan rahsia lagi kerajaan negeri pimpinannya kebelakangan ini agak kepanasan berdepan dengan pelbagai tuntutan janji tidak ditetapi dalam manifesto pilihanraya umum Mac 2008.

Siapa yang tidak naik angin kalau manifesto pilihanraya bukan satu akujanji yang perlu ditunai.

Kalangan ahli nujum politik melihat acah nak bubar DUN selepas Chap Goh Meh cuma satu taktik mengalih pandangan kepada masalah yang berserabut itu.

Ibarat terlajak perahu...kata sudah terhambur keluar.

Kini semua orang menunggu nak dengar apa pula alasan nak coverline jika Khalid tiba-tiba dapat ilham nak bubar DUN ikut pengumuman Najib pula.

Sebaliknya kalau jadi bubar awal...apa pula alasan yang kukuh nak dibagi kerana perbezaan waktu yang perlu diumum Najib tidak jauh.

Memetik kata Guan Eng hanya sekitar sebulan dan atas sebab itu Pulau Pinang nak ikut pengumuman Najib.

Semua orang tahu DUN Negeri Sembilan akan terbubar dengan sendirinya pada 28 Mac jika tiada pengumuman pembubaran parlimen dibuat sebelum itu.

Ramalan popular ialah Najib akan buat pengumuman pembubaran parlimen sebelum itu.

Suruhanjaya Pilihanraya sudah beberapa kali memberitahu ia perlu keluar belanja lebih berjuta-juta jika pilihanraya berasingan diadakan.

Kalau nak difikirkan Khalid memang tidak ada alasan yang munasabah bagi Selangor buat asing.

Senang cakap besar kemungkinan beliau terjerat dengan acahnya sendiri.

Namun Khalid yang ditemui wartawan selepas satu majlis di Kuala Selangor Isnin nampaknya masih nak teruskan drama ini...ibarat kata ' the show must go on'.
 
Hari ini 11 Februari....Chap Goh Meh 25 Februari.Masanya tidak lama...sekitar dua minggu lagi drama ini akan berakhir.

Ditanya mengenai perkembangan acah beliau itu,Khalid berkata beliau akan mengadakan perbincangan minggu depan mengenai tarikh pembubaran DUN Selangor bersama sekutu dalam Pakatan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri  berkenaan.

"Saya cakap selepas Chap Goh Meh baru kita buat beberapa keputusan (mengenai bubar DUN), jadi lambat lagilah.

"Saya akan buat beberapa pengumuman minggu depan selepas saya adakan perbincangan," katanya selepas menghadiri sambutan Jubli Intan Masjid Ar Rahman, Kampung Bukit Badong.-11/2/2013



PRU13: 'Akai' baru MB Selangor...

KOMEN PENGERUSI SPR DI DALAM Ini 'akai' terbaru Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim konon nak bubar DUN Selangor jika Perdana Menteri tak bubar Parlimen selepas perayaan Chap Goh Meh.
Chap Goh Meh adalah hari yang kelima belas dalam kalendar Cina dan untuk tahun ini ia disambut pada 25 Febuari.

'Akai' Khalid ini dipercayai ada kaitan dengan desas-desus Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan bubar Parlimen sekitar hujung Febuari atau awal Mac.
 
Inilah yang diperkatakan oleh orang ramai, faham-faham sajalah, dari segi persepsinya Khalid hendak tunjuk yang kerajaan pusat tunduk pada desakan beliau.

Khalid dalam sidang media di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah tadi kata kerajaan negeri Selangor akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selepas Chap Goh Meh, jika Putrajaya masih enggan memberi sebarang petunjuk untuk membubarkan Parlimen.

Bagaimanapun menurutnya kerajaan negeri akan berbincang dengan majlis pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) berkenaan perkara ini.

“Sekiranya Federal tidak memberi sebarang petunjuk untuk membubarkan Parlimen, kerajaan negeri bercadang untuk berbincang dengan majlis pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat untuk kita bubarkan DUN dengan lebih awal, iaitu selepas Chap Goh Meh,” kata Khalid.

Menurut Khalid, sebelum ini beliau enggan membubarkan DUN serentak dengan kerajaan Pusat  jika pembubaran berlangsung pada Jun tahun lalu, kerana mahu menguruskan bajet tahunan kerajaan negeri yang masih belum selesai.

“Tetapi, kita rasa kita perlu bubar lebih awal sekiranya Pusat masih belum bubar sebelum Chap Goh Mei, kita memikirkan untuk pembubaran lebih awal untuk mandat baru untuk kepentingan rakyat,” kata Khalid lagi.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Khalid buat lawak 'tak mahu ikut kerajaan pusat' ini, setiap kali isu tarikh bubur di sebut, ada saja cerita yang dibuat buat hendak gambarkan PR cadang bubar asing dari Pusat.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Khalid itu sendiri hairan dengan tindak tandur MB Selangor itu.

Katanya, dulu tidak mahu cepat, sekarang hendak cepat pulak.

"Kerajaan negeri memang ada hak bubar DUN bila-bila masa dengan perkenan sultan, tetapi tarikh pilihanraya hanya SPR yang boleh tentukan" katanya kepada Agendadaily di pejabat SPR Putrajaya sebentar tadi.

Beliau sebelum itu melancarkan portal www.pru13.gov.my untuk kemudahan orang ramai mendapatkan berbagai maklumat mengenai PRU 13. Portal tersebut juga akan menjelaskan isu-isu yang sering disalahtafsir pihak tertentu. -30/1/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 610  tetamu dalam talian