14November2018

80 ribu Rumawip menjelang 2020 bukan janji kosong...

Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang bakal dicapai oleh Kementerian Wilayah Persekutuan bagi membina 80 ribu Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) menjelang 2020 bukti bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) bukan hanya omongan kosong kepada rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya yakin dengan kesungguhan dan perancangan yang dibuat, pembangunan rumah mampu milik itu dapat dibina lebih awal daripada tahun sasaran yang ditetapkan.

"BN bukanlah parti yang menipu rakyat. Apa yang kita (BN) cakap, kita akan laksanakan. Projek Rumawip ini merupakan salah satu pembangunan yang telah dinyatakan di dalam manifesto BN pada pilihan raya umum lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ada Majlis Penyempurnaan Perjanjian di antara Malaysian Building Society Berhad (MBSB) dan Hektar Aneka Sdn Bhd serta Pembukaan Pendaftaran Rumawip bagi Residensi Hektar Gombak pada Selasa.

Turut hadir Pengerusi BN Wangsa Maju yang juga Pengerusi UDA Holdings, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah; Pengarah Hektar Aneka Sdn Bhd, Datuk Rozabil Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman.

Tambah Tengku Adnan, beliau sedar ada pihak yang tidak suka melihat kejayaan BN membantu rakyat, namun perkara itu tidak diambil pusing kerana objektif utama kerajaan adalah untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri.

"Pihak pembangkang tidak suka melihat kejayaan BN sebab itu mereka cakap macam-macam mengenai saya yang bertindak sebagai menteri, dan kepada Perdana Menteri. Tapi percayalah, ini semua untuk kebaikan rakyat.

"Saya tidak mahu ambil tahu apa cuba dilakukan oleh mereka. Tetapi saya percaya, diakhirnya, rakyat akan sedar, apa yang dilakukan kerajaan pada hari ini adalah untuk mereka.

"Rakyat boleh baca apa juga cerita yang dikatakan oleh mereka. Tetapi rakyat juga perlu bijak untuk berfikir dan menganalisis setiap apa yang mereka katakan," katanya lagi.

Beliau turut meneru kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mengambil peluang keemasan yang ditawarkan oleh kerajaan yang sentiasa prihatin dan mendahulukan kepentingan rakyat serta menjaga kebajikan semua.

Sementara itu, Rozabil berkata, Residensi Hektar yang mencakui 2, 400 unit berkeluasan 800 ke 850 kaki persegi ini menawarkan konsep unik Syumul yang menekankan aspek kerohanian, komuniti serta keselesaan fasiliti moden bertaraf pangsapuri kondominium.

"Projek pembangunan yang mempunyai lima blok perumahakan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung Disember 2021 dan akan dijual dengan tawaran harga diantara RM266 ribu hingga RM299.9 ribu setiap unit," katanya.-16/1/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 439  tetamu dalam talian