16Oktober2018

3,000 anggota silat kawal Himpunan Rakyat Bersatu 16 Sept

Presiden Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam Isnin menafikan bahawa Himpunan Rakyat Bersatu (HRB) pada Rabu ini mendapat tajaan daripada UMNO.

Sebaliknya Mohd Ali mengesahkan PESAKA sebagai penganjur himpunan dan UMNO turut dijemput bersama-sama berada di dalam himpunan berkenaan pada 16 September ini termasuk juga parti daripada PAS.

"Himpunan ini kita yang anjur, dianjur oleh PESAKA. Kita jemput semua NGO termasuk UMNO, PAS dan siapa sahaja sama dengan pandangan kami, mesti bersatu dalam menghadapi cabaran besar orang nak jatuhkan negara kita, mestilah bersatu supaya tidak menjadi seperti negara-negara Arab spring,” kata Mohd Ali.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media PESAKA di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) dekat Kuala Lumpur.

Semalam Penasihat DAP, Lim Kit Siang membuat tuduhan semborono bahawa HRB Rabu ini mendapat tajaan daripada parti politik UMNO.

Mengulas lanjut pandangan Majlis Olimpik Negara yang tidak menggalakkan persatuan sukan terlibat di dalam politik negara, Mohd Ali bagaimanapun mempunyai pendirian tersendiri.

“Suka tak suka kita kena sokong mempertahankan seni budaya. Apabila negara dihina, pimpinan negara di hina semestinya kita akan nyatakan pendirian kita.

“Kalau negara dah hura-hara apa guna lagi persatuan sukan seperti persatuan bola sepak, wusyu, badminton dan sebagainya? Jadi kita digalakkan menyatakan pendirian kita,” katanya.

Menurut Mohd Ali, HRB akan diadakan bermula jam dua petang sehingga jam lima petang di Padang Merbok di ibu negara meskipun telah mendapat kebenaran berhimpun dari jam 12 tengahari hingga 12 malam.

Seramai 3,000 anggota silat akan ditempatkan di Padang Merbok berkenaan bagi mengawal perjalanan himpunan berkenaan.

Tambahnya jika berlaku sebarang kekecohan melibatkan peserta himpunan, ia merupakan tanggungjawab individu terbabit.

Setakat ini lebih 100 NGO dan parti politik dijemput antaranya Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Majlis Permuafakatan Melayu serta Majlis Profesor Negara.

“Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos akan turut serta dalam perhimpunan berkenaan. Tiada perarakan cuma berkumpul di Padang Merbok,” katanya.-14/9/2015 - Oleh MOHD HILMI MOHD ALI Foto RABBANI JAMIAN


 

Bersih boleh, kenapa kami tak boleh...?

Jangan ada mana-mana pihak fikir Himpunan Rakyat Bersatu yang digerakkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sebagai himpunan berbaur perkauman kerana pengajur menjemput semua kaum menghadirinya pada 16 September ini di Padang Merbuk, di ibu negara.

Malah, pihak yang berniat mencetuskan isu perkauman ditegah menghadiri perhimpunan tersebut kerana ia diadakan secara aman bagi mempertahankan maruah pemimpin dan lima prinsip Rukun Negara.

Presiden Pesaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, pihaknya terpanggil mengadakan perhimpunan itu kerana tercabar dengan Bersih yang menganjurkan demonstrasi jalanan sejak Bersih 1.0 lagi.

“(Bersih) Dah buat empat kali, tapi kita tak nak bergaduh, kita biarkan sahaja, yang kedua dan ketiga serta terbaharu keempat, mana pergi maruah kita.

“Mereka terus cabar maruah kita, tak boleh tahan. Sebab itu kita nak buat (himpunan) secara aman ikut undang-undang,” katanya dalam sidang media di Stadium Titiwangsa, di ibu negara, Sabtu.

Hadir sama Setiausaha Agung Pesaka Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan pemimpin-pemimpin pertubuhan silat lain.

Katanya, sebelum ini Pesaka sudah membatah perhimpunan haram Bersih, membuat laporan polis dan mengadakan solat hajat tetapi pengajur dan penyokong-penyokong mereka terus menghina pemimpin negara.

“Tidak salah kalau tidak suka Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), tetapi mengapa sampai pijak gambar mereka. Ini menghina pemimpin Melayu yang dipilih secara demokrasi.

Menurut bekas Ketua Menteri Melaka itu, rakyat tidak suka pada mana-mana pemimpin boleh menentukannya pada pilihan raya sama seperti dialaminya apabila kalah pada PRU lalu.

“Tunggu pilihan raya, kenapa nak tumbangkan ikut jalanan. Lihat banyak negara yang lain yang rakyatnya menderita dan jadi mangsa apabila kerajaan dijatuhkan secara demikian,” katanya.

Menurut Ali, orang Melayu dan ahli-ahli Pesaka rasa terhina dengan perbuatan tidak bertanggungjawab oleh penganjur Bersih sebelum ini.

Menjawab soalan, beliau berkata, Pesaka sebagai badan berdaftar sudah mengemukakan permohonan kepada polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan berharap permit permohonan aman di Padang Merbok pada petang Rabu depan diluluskan..

“Saya minta bagilah kita permit, kita bukan nak gaduh, nak jalan-jalan. Kita nak duduk secara aman di Padang Merbok. Mereka (Bersih) boleh (berhimpun beramai-ramai), kenapa kita tidak boleh. Jangan fikir Bersih saja ada di Kuala Lumpur,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Pesaka tidak akan menganjurkan perhimpunan itu sekiranya tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Namun pihaknya tidak boleh menghalang mana-mana ahlinya atau individu menyertai perhimpunan yang turut dirancang oleh NGO lain membabitkan kumpulan baju merah dalam Himpunan Maruah Melayu pada tarikh sama.

Dalam pada itu, pihaknya tidak ada masalah mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka jika dibenarkan tetapi banyak kerja-kerja pembinaan di tempat tersebut.

Pada masa sama, beliau menjemput semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama untuk menyertai perhimpunan tersebut.

“Kita terbuka kepada rakyat Malaysia, UMNO, PAS atau mana-mana parti, semua boleh menyertai perhimpunan ini,”.

“Mana-mana (pihak) yang marah berdasarkan perkauman, yang nak buat kacau, jangan hadir,” katanya sambil menasihatkan peserta perhimpunan itu kelak menjaga kelakuan dan patuh peraturan kerana ia adalah perhimpunan aman.-12/9/2015 OLEH ROSLAN BIAN



 

 

 

 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 407  tetamu dalam talian