14Disember2018

1MDB....Najib cabar kerajaan PH di Dewan Rakyat

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengulangi desakannya terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya mendedahkan perjanjian penyelesaian di antara syarikat 1MDB dengan syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC).
 
Katanya sekiranya perjanjian tersebut didedahkan ia akan membuktikan Barisan Nasional (BN) telahpun menyelesaikan isu 1MDB dan menafikan tuduhan-tuduhan PH selama ini kononnya kerajaan terdahulu tidak bertanggungjawab.
 
Ahli Parlimen Pekan itu menyatakan demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2019) di Dewan Rakyat, Rabu.
 
Justeru itu kata Najib, pemimpin PH tidak sepatutnya berterusan menjadikan isu 1MDB sebagai modal politik sebaliknya menyahut seruannya mendedahkan perjanjian yang dinyatakan.
 
“Jika kerajaan PH benar-benar mahu menjulang ketelusan dan keadilan, mereka seharusnya mendedahkan perjanjian penyelesaian 2015 dan 2017 antara IPIC dan 1MDB untuk menunjukkan BN telahpun menyelesaikan isu 1MDB ini dan akan membuktikan bahawa BN bukanlah tidak bertanggungjawab.
 
“Jika ada sesiapa dalam Dewan ini yang tidak bersetuju dengan saya yang kerajaan PH berterusan menggunakan isu 1MDB sebagai modal politik mereka, izinkan saya memberikan beberapa contoh.
 
“Dua minggu lalu kerajaan PH mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mahu membatalkan perjanjian penyelesaian dengan IPIC dan tidak akan membayar RM4.5 bilion dolar yang dikatakan kita hutang kepada IPIC.
 
“Yang anehnya IPIC membalas serta-merta dan berkata dengan jelas bahawa 1MDB langsung tidak berhutang dengan mereka seakan-akan menuduh kerajaan PH telah berbohong. Tuduhan yang amat berat, tetapi tidak ada seorang pun pemimpin PH yang berbunyi bertanya mengapa IPIC membuat kenyataan yang bertentangan dengan tuduhan kerajaan PH,” tegasnya.
 
Hakikatnya ujar Najib, IPIC yang sebenarnya berhutang kepada 1MDB dan bukan sebaliknya.

 
“Perjanjian penyelesaian yang saya mahu kerajaan dedahkan akan menunjukkan bahawa kita telah beri masa sehingga 30 Disember 2020 untuk IPIC bayar balik kepada 1MDB semua wang yang dikatakan hilang.
 
“Kalau dokumen perjanjian ini didedahkan, maka terbuktilah kita telah berusaha memastikan harta dan hak rakyat Malaysia dijamin,” katanya.
 
Selain itu katanya, kerajaan PH juga harus meneruskan usaha-usaha membangun dan memaksimakan aset-aset 1MDB seperti TRX dan Bandar Malaysia.
 
Ujar Najib, jika dilaksanakan dengan langkah-langkah yang positif untuk memaksimumkan nilainya, 1MDB akan menjana keuntungan biarpun selepas membayar hutang mereka.
 
“Persoalannya adakah kerajaan PH berani melakukan semua ini demi negara dan rakyat atau mereka akan terus berselimut dengan modal politik serta berterusan memburukkan BN dan saya sendiri,” katanya. – 14/11/2018 Oleh AIDIL SYUKRI
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 258  tetamu dalam talian