14Disember2018

191 Bahagian Wanita UMNO buat laporan polis terhadap Waytha Moorthy

 
Seramai 191 Ketua Wanita UMNO Bahagian pada Jumaat dan semalam Khamis  membuat laporan polis terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy.
 
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara susulan rakaman video Waytha Moorthy yang keterlaluan dan memburukkan imej Malaysia.
 
Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya tidak boleh berkompromi dengan ucapan Waytha Moorthy dalam video itu yang dilihat berniat menghasut, membangkitkan rasa benci, penghinaan dan perasaan tidak suka kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
 
Pada masa yang sama katanya, ucapan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu di Belanda kira-kira 10 tahun lalu, yang  kembali tular baru-baru ini dipercayai boleh menimbulkan ketegangan antara kaum seterusnya mengancam keselamatan negara.
 
“Dakwaan Waytha Moorthy bahawa masyarakat India di Malaysia didiskriminasi ketika di bawah pentadbiran BN bukan sahaja berniat jahat malah suatu fitnah terbesar apabila menggambarkan negara ini melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang melampau,” kata Noraini dalam kenyataan, Jumaat.
 
Waytha Moorthy turut memfitnah kononnya 10,000 kuil dirobohkan dengan hak bukan Melayu dan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam dinafikan di negara ini.
 
Menerusi video berdurasi selama dua minit 39 saat itu, Waytha Moorty menggambarkan seolah-olah negara menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik selain kerajaan BN telah melakukan penindasan kepada kaum dan penganut agama lain.
 
“Dengan segala fitnah dan pembohongan ini, Wanita UMNO mahu Waytha Moorty disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 atau mana-mana undang-undang sedia ada yang berkaitan.
 
“Pada masa sama, Wanita UMNO  juga mendesak Waytha Moorthy menyelesaikan segera isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang  menimbulkan polemik dan kontroversi,” tegas Ahli Parlimen Parit Sulong itu.
 
Katanya, Wanita UMNO berpandangan, isu ICERD yang dicetuskan oleh Menteri Perpaduan itu dilihat mengakibatkan perpecahan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.- 23/11/2018
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 365  tetamu dalam talian