03September2014

Azizan tetap jadi calon PRU13 - Hadi

azizan513
KEMASKINI : Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu akan tetap mencalonkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak Azizan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 ini.
 
Beliau berkata nama Azizan terdapat dalam senarai calon yang bakal bertanding dan tiada sebarang isu berbangkit mengenai calon yang akan menggantikan Azizan sebagai Menteri Besar Kedah.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai desakan 11 Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah semalam yang dipercayai sepakat mendesak Azizan supaya berundur dan melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS negeri kerana dianggap lemah dalam menerajui parti itu.
 
Abdul Hadi berkata PAS menganggap tentangan anggota-anggota PAS Kedah terhadap Azizan itu sebagai masalah kecil.
 
Katanya masalah tersebut akan diselesaikan segera dan yakin rakyat Kedah akan terus memberikan kepercayaan kepada PAS untuk mentadbir negeri berkenaan.
 
"Kita menganggap itu 'berita pilihan raya', biasalah...tapi kita akan selesaikan semua masalah dan yakin serta percaya rakyat akan terus memberikan kepercayaan kepada PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Treler Negara Berkebajikan PAS di hadapan Pejabat Agung PAS Pusat di Kuala Lumpur, Khamis.
 
Bernama melaporkan ditanya sama ada kepimpinan PAS akan mengikut jejak langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya, Abdul Hadi berkata tiada keperluan untuk PAS berbuat demikian.
 
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata setakat ini beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai adanya masalah dalaman PAS Kedah.
 
"Saya tak terima apa-apa laporan pun setakat ini. Media saja yang lapor. Tiada sebarang isu ada bahagian PAS yang tak sokong Azizan terus pimpin Kedah.
 
"Setakat ini PAS juga amat berpuas hati dengan prestasi Azizan sebagai Menteri Besar," katanya.
 
Terdahulu Abdul Hadi melancarkan sebuah treler 40 tan bernilai hampir RM300,000 dilengkapi kemudahan wifi, sistem audio, projektor dan pentas untuk aktiviti ceramah Pas dan rakan pakatan pembangkangnya, PKR dan DAP, di seluruh negara. - 21/2/2013


11 DUN desak MB Kedah berundur kerana gagal selesai masalah parti


Sebelas Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dipercayai sepakat mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak supaya berundur dan melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS negeri kerana dianggap lemah dalam menerajui parti itu.

Ketua Unit Peti Undi (UPU) PAS, Megat Dewa Asri Ahmad mendakwa kelemahan kepimpinan Azizan yang gagal menyelesaikan masalah dalaman parti menyebabkan ramai di kalangan anggota PAS tidak berpuas hati dengannya serta berasa kecewa.

"Dari segi pentadbiran negeri tak dak masalah, tapi dalam parti beliau sangat lemah dan kami mahu beliau melepaskan takhtanya sebagai Pesuruhjaya PAS," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Komplek PAS Kedah Batu 9, Kota Sarang Semut dekat Alor Star, Rabu.

Bernama melaporkan Asri mendakwa antara 11 DUN yang mahu Azizan berundur ialah Kota Siputeh, Bandar Baru, Alor Mengkudu dan Merbau Pulas.

Dakwanya desakan itu sebenarnya disokong Dewan Ulama PAS Kedah yang bermesyuarat hari ini dan perkara itu akan dibawa ke peringkat pusat untuk tindakan selanjutnya.

"Kami bagi sokongan kepada Ulama dan mahu selesaikan perkara ini di peringkat pusat, minta Azizan turun... kami mahu PAS Kedah kembali kepada dasar yang ditetapkan, ulama adalah dasar perjuangan PAS," kata Asri.

Sementara itu Azizan ketika diminta mengulas mengenai desakan itu berkata, ada pihak yang sengaja ingin menimbulkan huru-hara dan ia merupakan strategi yang dipercayai dirancang musuh PAS.

Beliau berkata, bagaimanapun sebagai sebuah negara bebas, sesiapa sahaja berhak untuk mengeluarkan kenyataan dan pihaknya hanya boleh lihat apa sahaja yang dilakukan mereka.

"Pimpinan-pimpinan bahagian semua bersatu dan tak ada masalah pun, tiba-tiba ada pulak pihak lain cuba timbulkan huru-hara. Apa lagi yang saya buat tak kena, saya dah cuba bangunkan negeri, buat yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi ketika ditemui pemberita pula berkata setakat ini isu desakan supaya Azizan berundur belum pernah dibangkitkan dalam mesyuarat perhubungan yang dihadiri semua bahagian pada setiap bulan.

"Kalau ada perkara tak puas hati, patut guna saluran perhubungan... setakat ni tak sebut dalam mesyuarat perhubungan secara rasmi lagi," katanya. -20/2/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 657  tetamu dan tiada rakan dalam talian