22Jun2018

Muzakarah putuskan mangsa MH370 meninggal dunia

Semua 239 penumpang dan kru penerbangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang terbabit nahas pada 8 Mac tahun lalu dianggap sudah meninggal dunia selaras pengisytiharaan dibuat kerajaan pada 29 Januari lalu.

Perkara itu diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang, di sini, semalam selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk mematuhi syarat tempoh pencarian dan pandangan ulama.

Pengerusinya, Prof Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, berdasarkan pandangan ulama, individu yang hilang dan masih gagal ditemui seperti kes MH370 dipanggil sebagai ‘mafqud’.

Justeru, katanya, ulama turut berpendapat proses pencarian wajib dilakukan berdasarkan tempoh ditetapkan.

“Namun, tempoh pencarian berbeza dalam kalangan ulama dengan ada yang mengatakan ia tidak menetapkan sama ada lama atau sekejap pencarian itu.

“Bagaimanapun, ulama sependapat bahawa wajib mencari seseorang yang hilang itu, namun pada masa sama menetapkan tempoh mencari,” katanya pada sidang media sejurus selesai muzakarah, di sini semalam.

Katanya, apabila pencarian dilakukan, ia tidak dibuat mengikut pandangan lama, sebaliknya ditetapkan kerajaan yang memerintah pada masa itu.

Dr Abd Shukor berkata, ahli keluarga dan waris juga sudah boleh melakukan pelbagai tuntutan dan permohonan harta sejak pengisytiharan itu dibuat termasuk memohon tuntutan harta dan mendapatkan dokumen status perkahwinan.

“Sekiranya yang meninggal itu suami maka, si isteri perlu menunggu tempoh habis edah selama empat bulan dan 10 hari jika berhasrat untuk berumah tangga semula.

“Pada masa sama, anak mangsa MH370 yang belum akil baligh pula dianggap sebagai anak yatim,” katanya.

Pada 29 Januari lalu, kerajaan mengisytiharkan 239 penumpang dan kru MH370 yang hilang pada 8 Mac tahun lalu terkorban selepas 327 hari tempoh pencarian dilakukan seperti ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Selepas 327 hari dan berdasarkan data diperoleh, kemungkinan untuk penumpang terselamat adalah sangat tipis justeru, pengistiharan itu dibuat selepas menelitii semua data diperoleh termasuk pencarian daripada setiap sudut.

Pesawat Boeing 777-200ER itu hilang daripada imbasan radar ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu dan dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.-21/4/2015

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 846  tetamu dalam talian