20Januari2018

Kawasan pencarian MH370 diluaskan, kos baru RM141 juta

Malaysia dan Australia dijangka berkongsi kos meluaskan pencarian MH370 berjumlah AUSD50 juta (RM141 juta) jika pesawat itu masih tidak dijumpai dalam pencarian awal seluas lingkungan 60,000 km persegi di Lautan Hindi.
 
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kos itu lebih rendah kerana aset sudah ditempatkan di sana.
 
"Kami bagaimanapun berharap pesawat ditemui dalam lingkungan awal 60,000 km persegi yang dijangka selesai pada hujung Mei," katanya hari ini.
 
Malaysia dan Australia memperuntukkan AUSD120 juta (RM340 juta) pada fasa pertama carian. Setakat ini 61% daripada keluasannya selesai.
 
"Kami secara bersama memutuskan untuk melanjutkan kawasan yang kebarangkalian tinggi (lagi 60,000 km persegi), meliputi kawasan yang mempunyai 95% peluang pesawat dijumpai.
 
"Lebih penting mesyuarat hari ini kita berbincang lanjut dan saya kerajaan Malaysia, Australia, dan China komited dalam pencarian ini," kata Liow pada sidang media selepas pertemuan tiga pihak antara Australia dan China di Kuala Lumpur hari ini.
 
Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss berkata, amat penting bagi keluarga yang terjejas memahami tentang perkembangan terkini MH370.
 
"Kami membincangkan tentang langkah yang perlu diambil bagi mengesan pesawat dalam beberapa bulan akan datang.
 
Amat penting bagi mencari kotak hitam supaya keluarga boleh mendapatkan penjelasan sebenar," kata Truss.
 
Katanya, fasa kedua pencarian akan diluaskan lagi sebanyak 60,000 km persegi, dua kali ganda berdasarkan keluasan kawasan pencarian semasa.
 
Jelasnya, pencarian mungkin "sukar" apabila tiba musim sejuk.
 
"Aset di luar sana mungkin tidak dapat digerakkan ekoran cuaca buruk," katanya.
 
Fasa kedua akan berjalan sehingga selesai pada hujung tahun ini.
 
Truss juga menepis pendapat mengatakan pesawat itu berada di kawasan lain kerana maklumat daripada data satelit yang diterima tidak menunjukkan sebaliknya.
 
Sementara itu, Menteri Pengangkutan China Yang Chuan Tang berkata, 3 negara ini tidak akan berputus asa mencari pesawat itu.
 
"Kita akan membantu dengan menghantar aset ke kawasan pencarian. Kita juga akan menaik taraf kapal dan aset lain untuk digunakan semasa pencarian fasa kedua," katanya.
 
Sehari sebelum pertemuan antara 3 negara itu, Voice 370 yang mewakili keluarga penumpang dan kru MH370 merayu kepada pihak berkuasa supaya tidak berhenti mencari MH370 dan membuat siasatan tentang punca sebenar tragedi tersebut.
 
Pada masa sama, demi kepentingan keselamatan penerbangan, dan menyokong kemajuan langkah pemulihan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
 
Satu pencarian melibatkan lebih 20 negara digerakkan mencari pesawat yang hilang namun masih menemui jalan buntu.
 
Putrajaya pada 29 Januari lalu mengisytiharkan MH370 hilang dalam kemalangan dan mengorbankan semua nyawa dalam pesawat.-17/4/2015

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 636  tetamu dalam talian