22Jun2018

Apa kesudahan pencarian pesawat MH370... ?

Apa kesudahan pencarian pesawat malang MH370 akan ditentukan dalam satu mesyuarat tiga negara yang bakal berlangsung di ibu negara pada 16 April ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ada andaian dikalangan media antarabangsa bahawa Australia akan menghentikan pencarian secara rasmi bagaimanapun mesyuarat 16 April ini akan menentukan fasa seterusnya status dan usaha pencarian MH370.

Tiong Lai berkata, mesyuarat tiga negara membabitkan Malaysia, Australia dan China itu akan meneliti status dan usaha yang sedang dijalankan di kawasan pencarian MH370 setakat ini bagi mencapai keputusan secara kolektif untuk langkah yang akan diambil seterusnya.

Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss MP dan Menteri Pengangkutan China, Yang Chuantang, dijangka hadir bagi menyertai Malaysia dalam mesyuarat ini.

"Hasil perbincangan ini juga akan berdasarkan kepada nasihat dan taklimat pakar daripada Search Strategy Working Group (SSWG)," katanya.

Tiong Lai berkata, Malaysia bersama-sama Australia dan China tetap komited untuk melengkapkan pencarian dasar laut di kawasan pencarian utama seluas 60,000 kilometer persegi dan sehingga kini, misi pencarian telah meliputi kawasan seluas lebih daripada 37,000 kilometer persegi atau 61 peratus daripada jumlah kawasan.

"Setakat ini, Malaysia dan Australia masing-masing telah pun membelanjakan sebanyak AUD60 juta (RM180 juta) dalam usaha pencarian ini. Ini jelas membuktikan kesungguhan serta komitmen ketiga-tiga negara untuk mencari pesawat MH370 ini.

"Bantuan dan komitmen dari kerajaan Australia dan China amatlah dihargai. Ia amat penting dalam misi pencarian MH370," katanya dalam satu kenyataan.-13/4/2015

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 623  tetamu dalam talian