23November2017

Pulak dah... serpihan MH370 jadi bahan kes bunuh konsulat

Kes kematian Konsul Kehormat Malaysia ke Madagascar Zahid Houseinaly Reza yang dipercayai dibunuh pada 24 Ogos lalu, masih dalam proses siasatan pihak berkuasa negara berkenaan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan bagaimanapun sentiasa memantau perkembangan siasatan kes itu bagi memastikan punca sebenar kematian Zahid Houseinaly.

“Kita memang nak hantar pasukan pegawai ke sana (Madagascar) tetapi dinasihatkan pihak kerajaan di sana supaya (beri peluang) mereka jalankan siasatan dahulu, sebab itu kita tangguhkan pasukan yang nak dihantar itu.

“Kes ini merupakan kes undang-undang jenayah dan perlu disiasat di bawah undang-undang negara tersebut.

“Kita tidak boleh masuk menyiasat kerana ia di bawah tanggungjawab kerajaan itu dan mereka telah mengambil tindakan untuk membuat siasatan,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat semalam.

Mengulas mengenai serpihan yang dipercayai milik pesawat MH370, Liow berkata serpihan tersebut juga menjadi bahan kes dalam siasatan kes pembunuhan tersebut, menyebabkan ia tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia.

“Apabila kita nak ambil (serpihan), mereka kata ia ‘under investigation’, (jadi) kita perlu hormati undang-undang negara berkenaan.

“Tetapi kita akan bekerjasama dengan negara itu untuk pastikan kita dapat bawa balik semua serpihan yang ditemui,” katanya, sambil menambah, perkembangan mengenai siasatan kes itu akan dimaklumkan kemudian.

Dalam satu kenyataan pada 30 Ogos, Wisma Putra juga memaklumkan mengenai kematian allahyarham Houseinaly yang dilantik sebagai konsul kehormat Malaysia ke Madagascar pada Disember 2013 untuk tempoh tiga tahun.

Kerajaan Malaysia telah memperbaharui kontraknya untuk jawatan tersebut bagi tempoh tiga tahun lagi sehingga Disember 2019.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata kerajaan sedia menimbang sebarang permohonan syarikat penerbangan komersial negara untuk melalui laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun ia tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan. Sekiranya laluan itu dibuka kepada penerbangan komersial, kerajaan tidak boleh lagi memberi subsidi di bawah obligasi perkhidmatan awam, Akta 771 Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom),” katanya.

Selain itu, beliau berkata MASwings juga akan menghentikan penerbangan di enam laluan di kedua-dua negeri tersebut berikutan saingan dengan syarikat penerbangan komersial mulai tahun depan.-9/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 664  tetamu dalam talian