19Jun2018

MH370: Lebih seribu hari berlalu tapi masih dalam ingatan

MH370 yang hilang bersama penumpang pada hari ini 8 Mac 2014 akan terus dikenang walaupun selepas lebih seribu hari berlalu.

Kerajaan tetap komited untuk meneruskan pencarian pesawat MH370 meskipun sudah empat tahun kehilangannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, nasib penumpang dan anak-anak kapal pesawat itu sentiasa dalam doa.

“Pencariaan terbaru yang sedang diusahakan kerajaan menunjukkan kita komited untuk mencari MH370 dan mengetahui nasib para penumpang,” kata beliau menerusi Facebook.

Pesawat Boeing 777 penerbangan MH370 hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac 2014.

Usaha mengesan pesawat itu dilancarkan beberapa jam selepas kehilangannya di perairan Laut China Selatan hingga di kawasan terpencil di Laut Hindi yang diterajui oleh Australia.

Operasi pencarian itu membabitkan kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di pesisir barat benua selama 28 bulan dan ia dihentikan pada Januari tahun lalu.

Namun, kehilangan pesawat MH370 masih  gagal merungkaikan misteri paling hebat dalam sejarah industri penerbangan global.

Pencarian bangkai pesawat MH370 itu kini diteruskan oleh firma Ocean Infinity dari Amerika Syarikat dijangka selesai pada pertengahan Jun ini.

Najib berkata, Malaysia juga komited mendorong komuniti penerbangan global untuk mengambil pelbagai langkah perlu bagi menjadikan ruang udara lebih selamat agar tragedi MH370 tidak berulang lagi.

Sementara itu, Bernama melaporkan Juruterbang pandu uji Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata buat masa sekarang ini, harapan kepada "Seabed Constructor" adalah tinggi kerana ia adalah satu-satunya kapal yang diberi mandat secara formal untuk mencari secara fizikal bangkai pesawat MH370.??

"Namun begitu, ada beberapa 'independent organizations' (badan bebas) yang masih melakukan analisis terasing untuk 'pinpoint' (mengenal pasti) secara jitu lagi akan lokasi MH370."

"Walaupun ini adalah bukan pencarian fizikal tetapi ia tetap berguna untuk memberi perspektif lain terhadap pencarian.??"Satu perkara yang menarik ialah pelayar-pelayar yang berlayar di Lautan Hindi boleh dikatakan sepakat secara tidak formal untuk berkongsi informasi jika mereka menemui serpihan-serpihan pesawat. Ini sedikit sebanyak memberikan harapan juga kepada pihak keluarga," katanya.

Pada 11 Jan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa di bawah perjanjian dengan syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited, pencarian MH370 akan disambung semula pada pertengahan Januari dengan kapal "Seabed Constructor" menjalankan pencarian di kawasan meliputi 25,000km persegi dalam masa 90 hari.

Misi utama kapal itu ialah mengenal pasti lokasi bangkai dan/atau kedua-dua perakam penerbangan, perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR).

Pencarian itu adalah berdasarkan "no cure, no fee," yang bermakna bahawa pembayaran hanya dibuat apabila serpihan pesawat yang hilang itu ditemukan dan disahkan oleh pihak ketiga.

Sejak meninggalkan dunia dengan teka teki 'Goodnight Malaysia three seven zero', kehilangan pesawat itu terus menjadi misteri dan jika ia masih tidak ditemui selepas operasi pencarian berakhir pada Jun ini, Mohd Harridon berkata antara langkah yang wajar adalah untuk kembali kepada fasa analisis untuk membuat analisis yang lebih jitu akan kedudukan terakhir MH370.??"

"Diharap MH370 dapat dijadikan satu kajian kes untuk pakar matematik merungkai misteri kedudukan terakhirnya dengan menggunakan informasi yang terhad," katanya yang percaya, penutup misteri ini bukan sahaja penting untuk waris mangsa pesawat tetapi juga untuk industri penerbangan dalam mencari punca sebenar nahas untuk mengelakkan ia berlaku atau berulang kembali.

Seorang lagi pakar penerbangan, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata Lautan Hindi itu amat luas dan bukannya sesuatu yang mudah untuk pasukan mencari memberi kedudukan tepat, apatah lagi tiada isyarat yang tepat yang mengatakan inilah tempatnya pesawat itu dilihat jatuh.

Bekas pegawai penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata justeru beliau berharap agar kaum keluarga tidak begitu menaruh harapan terhadap penemuan bangkai pesawat tersebut dan sekiranya ia ditemui, maka ia satu bonus untuk semua pihak terutamanya pihak keluarga.

Ditanya mengenai pelan B jika masih tiada penemuan sehingga Jun, beliau berkata perkara ini boleh diperbincangkan dengan lebih lanjut lagi antara kerajaan dan pasukan pencari.-8/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1352  tetamu dalam talian