15Disember2018

MAB bayar pampasan kepada waris penumpang MH17

Malaysia Airlines Berhad (MAB) mengesahkan waris mangsa warga New Zealand yang terbunuh dalam tragedi penerbangan MH17 yang ditembak jatuh 17 Julai 2014 diberi pampasan.

MAB dalam kenyataan berkata, pampasan dibuat selepas persetujuan dicapai antara waris dan syarikat namun tidak mendedahkan jumlah pampasan dibayar.

“Kami dapat sahkan bahawa kedua-dua pihak sudah perolehi keputusan secara baik dan sulit.

“Bagaimanapun kami tidak akan mendedahkan butiran lanjut untuk menghormati privasi dan keselamatan ahli keluarga yang terjejas,” katanya.

Terdahulu, portal berita New Zealand, Stuff melaporkan ahli keluarga Rob Ayley, 27, yang terbunuh dalam tragedi itu, menerima pampasan bernilai jutaan dolar.

Rob salah seorang daripada 283 penumpang dan 15 anak kapal yang terkorban apabila pesawat berkenaan ditembak jatuh peluru berpandu permukaan ke udara di ruang udara Ukraine.

Rob menetap di Otaki bersama isterinya dan 2 anak. Seorang anaknya menghidap autisme dan seorang lagi pelajar ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan kimia.

Stuff melaporkan keluarga Rob menerima pampasan sekitar NZ$1.8 juta (RM5.179 juta).

Menurut laporan itu, Malaysia Airlines membuat pembayaran tahun lepas dan dimasukkan ke satu tabung amanah untuk Sharlene dan 2 anaknya.

MAB dalam kenyataan berharap dan berdoa waris-waris mangsa yang terlibat dalam nahas ini diberikan kekuatan untuk hadapi hari-hari mendatang.

MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur apabila konflik sedang bergolak di wilayah Donbass antara kerajaan Ukraine dan kumpulan pemisah yang disokong Rusia.

Peristiwa itu dianggap kejadian tembak jatuh terburuk dalam sejarah penerbangan dan tragedi kedua buat Malaysia Airlines selepas kehilangan pesawat penerbangan MH370 pada Mac tahun yang sama.

Seramai 193 warga Belanda terbunuh, diikuti Malaysia (43), Australia (27), Indonesia (12), United Kingdom (10), Belgium (4), Jerman (4), Filipina  (3), Kanada (1) dan New Zealand (1).

Ukraine dan Rusia nafi bertanggungjawab di atas kejadian itu. Malaysia bersama-sama Belanda, Belgium, Ukraine, Australia pada 2015 membentangkan satu resolusi di PBB meminta penubuhan sebuah tribunal siasatan namun diveto Moscow.-19/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 313  tetamu dalam talian