24September2018

Ada perkembangan baru MH370... tunggu minggu depan

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan untuk meneruskan misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 akan diumumkan minggu depan.

Menurut Tiong Lai,  kerajaan kini berada pada fasa terakhir perbincangan sebelum menandatangani sebarang perjanjian dengan syarikat penerokaan dasar laut.

"Kita akan umum minggu depan, syarikat itu boleh menggerakkan kapal mereka selepas rundingan akhir selesai.

"Australia dan China mungkin akan terlibat dalam misi itu," katanya ketika ditemui di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Rabu malam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan berita antarabangsa The Guardian yang memaklumkan misi pencarian MH370 akan diteruskan selepas sebuah kapal penyelidik dikendalikan Ocean Infinity meninggalkan pelabuhan Durban, Afrika Selatan menuju ke Perth, Australia.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata rundingan dengan syarikat tersebut adalah berasaskan perjanjian 'Tiada bayaran tanpa sebarang penemuan' (no find, no fee).

Katanya, laporan akhir siasatan menyeluruh mengenai punca kehilangan MH370 sedang disediakan pasukan penyiasat dan dijangka dikeluarkan dalam tempoh setahun dari tarikh penggantungan pencarian pesawat malang itu.

Keputusan menggantung pencarian MH370 dicapai semasa mesyuarat tripatite peringkat menteri antara Malaysia, Australia dan China pada 22 Julai lalu, namun pencarian selanjutnya boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat petunjuk baharu yang sahih dan kukuh.

MH370 hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. Ia membawa 239 penumpang dan anak kapal.-4/1/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 374  tetamu dalam talian