18Februari2018

Trump rancang perarakan tentera besar-besaran

Pegawai tertinggi tentera Amerika Syarikat (AS) berkata bahawa perancangan sedang dibuat selepas Presiden Donald Trump mengarahkan satu perarakan tentera besar-besaran, permintaan yang dianggap luar daripada kebiasaan.

“Saya sedia maklum tentang permintaan Presiden (Trump) dan kami sedang dalam perancangan awal untuk memenuhi arahan beliau,” kata Pengerusi Ketua Staf Bersama, Jeneral Joe Dunford kepada pemberita semasa melawat ibu kota Thailand, Bangkok semalam.

Dunford merupakan pegawai tinggi tentera AS pertama me­ngulas secara terbuka mengenai arahan Trump untuk mengadakan perarakan tentera berskala besar selepas White House mengesahkannya kelmarin.

Perarakan tentera seum­pamanya jarang diadakan di AS. Perarakan berskala besar dikatakan tidak murah, malah, kos menghantar kereta-kereta kebal Abrams dan peralatan canggih lain ke Washington boleh mencecah jutaan dolar.

AS juga keberatan untuk menonjolkan kekuatan tenteranya. Ini kerana Washington beranggapan bahawa ia tidak perlu berbuat demikian kerana dunia sedia maklum tentang keupayaan ketenteraan AS.

Negara kuasa besar itu pada kebiasaannya, mengadakan perarakan tentera bagi menandakan tamatnya sesuatu konflik seperti pada tahun 1991, apabila Presiden George H.W. Bush menganjurkan Perarakan Kemenangan Kebangsaan di Washington untuk meraikan berakhirnya Perang Teluk.

Permintaan Trump untuk mengadakan perarakan tentera besar-besaran itu mungkin po­pular kepada ramai rakyat AS, namun ia mendapat kecaman sebilangan pengkritik.

Mereka berkata, perarakan tentera besar-besaran hanya akan membazirkan wang negara selain meniru acara yang dianjurkan oleh rejim kuku besi.

Dalam perkembangan ber­kaitan, beberapa pegawai berkata, perarakan tentera gilang-gemilang itu akan diadakan lewat tahun ini.

Trump sudah lama menyimpan hasrat untuk mengadakan perarakan seperti itu dan meluahkan perancangan tersebut semasa mengadakan pertemuan dengan jeneral-jeneral kanan Pentagon pada 18 Januari lalu.-8/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 674  tetamu dalam talian