23Oktober2017

Trump berisiko cetus Perang Dunia Ketiga

Seorang wakil rakyat utama daripada Parti Republikan kelmarin memberi amaran bahawa ancaman semberono yang dibuat Presiden Donald Trump terhadap negara lain berisiko menjerumuskan Amerika Syarikat (AS) ke dalam kancah Perang Dunia Ketiga.

Bob Corker yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat membidas Trump kerana mentadbir White House seperti sebuah ‘program realiti televisyen’ dalam kritikan pedas beliau terhadap Presiden AS daripada partinya sendiri.

Sengketa terbuka antara dua bekas sekutu itu boleh menjejaskan agenda Trump ekoran undi Corker penting untuk menentukan nasib perjanjian nuklear Iran dan pembaharuan cukai.

“Beliau (Trump) membimbangkan saya,” kata Corker kepada akhbar The New York Times sambil menambah: “Beliau menyebabkan sesiapa sahaja yang mengambil berat tentang negara kita berasa bimbang.”

Perang mulut mereka tercetus pagi kelmarin apabila Trump membuat kenyataan di Twitter bahawa Corker enggan bertanding semula kerana ‘hilang keberanian’, manakala senator itu pula berkata, White House bertukar menjadi pusat ja­gaan orang tua di bawah Trump.

Pertengkaran Trump-Corker turut memuncak pada minggu lalu selepas Presiden AS memperlekehkan usaha Setiausaha Negara, Rex Tillerson ketika beliau cuba membuka pintu rundingan dengan Korea Utara.

Trump berkata dalam komennya di Twitter bahawa Tillerson hanya ‘membuang masa untuk cuba berunding.’

Kecewa dengan reaksi Trump, Corker memberitahu sekumpulan wartawan pada Rabu lalu bahawa Tillerson tidak mendapat sokongan yang diperlukan daripada ketuanya.

Beliau menambah: “Saya merasakan Tillerson, Setiausaha Pertahanan, James Mattis dan Ketua Staf White House, John Kelly adalah mereka yang membantu menyelamatkan negara kita daripada terjerumus ke dalam huru-hara. Saya menyokong mereka.”

Beliau tidak menyebut nama Trump secara khusus tetapi kenyataan tersebut jelas ditujukan kepada Presiden AS.-10/10/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 794  tetamu dalam talian