19Oktober2017

Tentera Amerika Syarikat sertai perang di Selatan FIlipina

Pasukan khas Amerika Syarikat menyertai pertempuran untuk menghapuskan kumpulan militan Islam yang berkubu di sebuah pekan di selatan Filipina, kata pegawai kerajaan hari ini, selepas tentera menghadapi kesukaran untuk mara dan 13 marin terbunuh dalam pertempuran bandar yang sengit.

Tentera Filipina berkata AS menyediakan bantuan teknikal untuk menamatkan kepungan bandar Marawi oleh kumpulan bersenjata yang bersekutu dengan IS. AS tidak menghantar askar tempur untuk menyertai kempen yang kini memasuki minggu ketiga.

“Mereka tidak bertempur. Mereka cuma menyediakan bantuan teknikal,” kata jurucakap tentera Leftenan Kolonel Jo-Ar Herrera pada sidang media di Maravi.

Kedutaan AS mengesahkan Washington menawarkan bantuan atas permintaan kerajaan Filipina. Sebuah pesawat peninjau P3 Orion dilihat berlegar di ruang udara bandar itu semalam, menurut media.

Kerjasama antara 2 sekutu itu wajar diberi perhatian kerana Presiden Rodrigo Duterte, yang mengambil alih kuasa setahun lalu, mengambil sikap berseteru dengan Washington dan berikrar menghalau kumpulan penasihat dan pelatih tentera AS dari negaranya.

Rampasan Marawi pada 23 Mei lalu mengejutkan Asia Tenggara yang bimbang IS – kerana berdepan kesulitan di Syria dan Iraq – cuba bertapak di pulau Mindanao, Filipina dan boleh mengancam rantau itu.

Kira-kira 40 orang asing bertempur bersama militan Filipina di Marawi, kebanyakannya dari Indonesia dan Malaysia, termasuk beberapa orang dari Timur Tengah.

Tentera Filipina mengalami kehilangan terbesar Jumaat lepas sejak 10 askarnya terbunuh dalam kejadian 1 Jun lepas. Herrera berkata 13 marin yang sedang menjalankan operasi terbunuh selepas pertempuran dari rumah ke rumah. Mereka menemui peranti letupan buatan sendiri dan diserang dengan bom tangan roket.

Kematian mereka menjadi 58 anggota keselamatan terbunuh, selain daripada 20 orang awam dan lebih 100 militan terbunuh dalam pertempuran Marawi.

Sekurang-kurangnya 200 militan masih berkubu di penjuru bandar itu. Dianggarkan 500 sehingga 1,000 orang awam terperangkap, sebahagiannya dijadikan perisau manusia, sementara yang lain-lain bersembunyi dalam rumah masing-masing tanpa air, elektrik dan makanan.

Tentera berkata mereka sedang mara dengan berhati-hati supaya tidak memusnahkan masjid yang dijadikan kubu oleh kumpulan militan.

“Kami berhati-hati dengan masjid kerana ia simbol saudara kita yang beragama Islam,” kata Herrera.

Majoriti rakyat Filipina beragama Krisitian tetapi Mindanao mempunyai jumlah penduduk Islam yang besar dan kebanyakan penduduk Marawi beragama Islam.

Salah satu kumpulan militan Islam yang berkubu di tengah-tengah bandar itu ialah Maute, pendatang baharu dalam barisan pemberontak, pemisah dan penyangak di Mandanao.

Herrera berkata tentera sedang menentusahkan laporan kematian 2 pengasas kumpulan itu.

“Kami masih menanti pengesahan,” katanya. “Kami sedang menentusahkan laporan itu tetapi ada petunjuk yang kuat.”

Maute menyertai individu bernama Isnilon Hapilon, yang tahun lalu diisytiharkan IS sebagai “emir” mereka di Asia Tenggara. Pegawai tentera percaya Hapilon masih berada di Marawi.

Tentera berkata mereka mahu menamatkan kepungan itu Isnin ini, iaitu hari kemerdekaan Filipina.-11/6/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 888  tetamu dalam talian