22Oktober2017

Syarikat di negara EU boleh halang pekerja pakai tudung - ECJ

Syarikat-syarikat Eropah berhak melarang pekerja daripada memakai simbol agama atau politik termasuk tudung di tempat kerja, kata Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) dalam keputusan bersejarah kelmarin

ECJ berkata, larangan itu bukan diskriminasi sekiranya sesebuah syarikat sememangnya mempunyai peraturan melarang pemakaian simbol politik, falsafah atau agama.

Mahkamah beribu pejabat di Luxembourg itu membuat keputusan berhubung kes seorang wanita Islam yang dipecat oleh firma keselamatan G4S di Belgium selepas dia bertegas untuk bertudung.

Kes itu berkisar pada 2003 apabila Samira Achbita diterima bekerja sebagai penyambut tetamu oleh G4S di Belgium. Ketika itu, firma berkenaan mempunyai peraturan tidak bertulis bahawa pekerjanya tidak boleh memakai sebarang simbol politik, agama atau falsafah semasa bekerja.

Pada 2006, Samira memberitahu G4S bahawa dia mahu memakai tudung di tempat kerja tetapi dilarang majikannya.

Firma tersebut kemudian memperkenalkan larangan rasmi seumpamanya. Samira kemudian dipecat dan dia memfailkan aduan di mahkamah kerana mendakwa menjadi mangsa diskriminasi.

Kata ECJ, undang-undang Kesatuan Eropah (EU) melarang diskriminasi berdasarkan agama tetapi tindakan G4S dibuat berdasarkan prinsip untuk melayan semua pekerja secara sama rata, manakala larangan itu tidak disasarkan kepada seorang individu sahaja.

“Peraturan itu (G4S) melayan pekerja sama rata dengan meminta mereka untuk berpakaian secara neutral dan tanpa pengecualian,” kata ECJ dalam keputusannya.

Dalam pada itu, kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International (AI) menyifatkan keputusan ECJ sebagai “mengecewakan” dan boleh mendorong diskriminasi.

“Dengan memutuskan bahawa syarikat boleh melarang pemakaian simbol agama berdasarkan prinsip neutral, mereka (ECJ) membuka pintu belakang kepada tindakan prejudis,” kata AI dalam satu kenyataan.

Pemakaian simbol agama khususnya simbol Islam seperti tudung menjadi isu panas selepas kebangkitan parti politik nasionalis dan anti-Islam di Eropah.

Sesetengah negara seperti Austria kini menimbang untuk melarang pemakaian purdah di tempat awam, manakala pihak berkuasa tempatan di Perancis melarang wanita memakai baju renang menutup aurat atau burkini di pantai awam.

ECJ merupakan mahkamah tertinggi dalam EU yang membuat keputusan berhubung isu berkaitan blok berkenaan.-16/3/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 708  tetamu dalam talian