23Oktober2017

Pusingan pertama rundingan damai Fatah-Hamas positif

Pusingan pertama dialog perdamaian yang berlangsung di Kaherah pada Selasa antara pemimpin pergerakan Hamas dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas mewakili Parti Fatah adalah "positif," lapor agensi berita China Xinhua memetik satu kenyataan rasmi.

Kenyataan itu, yang diedar melalui e-mel, dikeluarkan 10 jam selepas dialog tersebut berlangsung "dalam suasana positif" di Ibu Pejabat Perisikan Keselamatan Mesir.

"Kedua-dua pihak, Fatah dan Hamas, mengadakan sesi pertama dialog nasional Palestin dalam usaha untuk menamatkan perpecahan dalaman dan mencapai perpaduan," menurut kenyataan yang dikeluarkan pemimpin kedua-dua pergerakan pada akhir sesi itu.

Kenyataan itu juga menyebut dialog tersebut ditaja sepenuhnya oleh Mesir dan telah menangani secara mendalam beberapa isu perdamaian bagi menamatkan penderitaan penduduk Gaza.

Pemimpin kedua-dua pihak tiba di Kaherah pada malam Isnin untuk mengadakan dialog yang komprehensif bagi mencapai satu mekanisme untuk melaksanakan persefahaman perdamaian terdahulu yang telah dicapai beberapa tahun lepas.

Mereka berkunjung ke Kaherah atas jemputan rasmi Mesir bagi mengadakan satu dialog yang komprehensif ke arah menamatkan perpecahan dalaman lebih 10 tahun antara kedua-dua pihak.

Dialog di Kaherah itu dilancar selepas pergerakan Hamas mengumumkan pembubaran jawatankuasa pentadbiran kontroversial yang memerintah Gaza pada September.

Selepas membubarkan jawatankuasa itu, minggu lepas Abbas mengarahkan agar Rami Hamdallah, Perdana Menteri kerajaan konsensus Palestin dan kabinetnya serta ketua pasukan keselamatan Palestin ke Gaza untuk menyerahkan pentadbiran Gaza.

Terdahulu pada Selasa, sumber Palestin yang rapat dengan dialog itu berkata dialog di Kaherah akan berlangsung sehingga Khamis, sambil menambah bahawa pemimpin kedua-dua pihak akan mengadakan sidang media berhubung apa yang telah mereka capai.

Sumber itu berkata selepas ini mereka akan kembali ke wilayah Palestin dan menunggu satu lagi jemputan dari Mesir untuk mengadakan dialog yang lebih luas dan membabitkan pemimpin puak Palestin serta kuasa politik lain.

Sementara itu, pejabat ketua Hamas Ismail Haniyeh berkata beliau menerima panggilan telefon daripada pemimpin delegasi Hamas ke dialog tersebut iaitu Saleh Arouri, yang memaklumkan dialog itu "setakat ini adalah positif."-11/10/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 843  tetamu dalam talian