18Ogos2018

Penghapusan etnik di Myanmar boleh merebak - PBB

Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memberi amaran bahawa ‘genosid dan penghapusan etnik’ terhadap etnik minoriti Islam Rohingya boleh mencetuskan konflik berkaitan agama yang akan me­rebak ke luar sempadan Myanmar.

“Myanmar berdepan krisis sangat serius dan berpotensi mendatangkan impak yang amat buruk ke atas keselamatan serantau,” kata Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Raad Al-Hussein dalam satu ucapan di Jakarta.

Kenyataan beliau menyusul sebuah laporan yang diterbitkan ming­gu lalu tentang kubur-kubur besar di Negeri Rakhine, barat Myanmar di mana tentera kerajaan dituduh melancarkan kempen penghapusan etnik terhadap etnik Rohingya.

Hampir 700,000 penduduk Ro­hingya melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos tahun lalu.

Myanmar menafikan laporan kubur besar itu dan dakwaan pencabulan hak asasi manusia. Naypyi­daw berkata, operasi tentera yang dilancarkan adalah untuk menghapuskan pemberontak Rohingya.

Namun, Myanmar bertindak menyekat pemberita dan pasukan penyiasat PBB daripada membuat penilaian bebas di zon konflik serta menyiasat dakwaan pelarian Ro­hingya mengenai genosid.

Zeid berkata semalam bahawa Myanmar menikmati pertumbuhan kukuh termasuk tumpuan kepada pembangunan sosio-ekonomi di Negeri Rakhine tetapi ia tidak dapat menutup diskriminasi Naypyidaw terhadap etnik Rohingya.

Ketua hak asasi manusia PBB itu dijadualkan menemui Presiden Indonesia, Joko Widodo di samping pegawai kanan lain dan kumpulan-kumpulan hak asasi semasa lawatan tiga harinya.

Antara isu yang akan dibincangkan termasuk operasi pihak berkuasa membanteras komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Indonesia, negara yang mempunyai rakyat beragama Islam terbesar di dunia.

Parlimen Indonesia akan meluluskan sebuah rang undang-undang untuk mengharamkan seks luar nikah. Perkahwinan songsang melibatkan LGBT tidak wujud di Indonesia, bermakna hubungan homoseks akan diharamkan di sisi undang-undang negara itu.-6/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 367  tetamu dalam talian