16Januari2018

Pengakhiran malang Robert Mugabe...

Tentera Zimbabwe merampas kuasa dengan menyasarkan ‘penjenayah’ di sekeliling Presiden Robert Mugabe tetapi memberi jaminan di kaca televisyen bahawa pemimpin berusia 93 tahun itu dan keluarganya selamat dan berada dalam keadaan baik.

Anggota tentera dan sejumlah kereta perisai menutup jalan-jalan menuju ke pejabat kerajaan, Parlimen dan mahkamah di pusat bandar Harare, kata seorang saksi agensi berita Reuters.

“Kami hanya menyasarkan penjenayah-penjenayah di sekeliling Mugabe yang menyebabkan masyarakat sengsara dan ekonomi negara merosot supaya mereka dapat dibawa ke muka pengadilan,” kata seorang komander tentera Zimbabwe, Mejar Jeneral SB Moyo.

“Sebaik sahaja kami menyelesaikan misi ini, kami menjangkakan situasi di Zimbabwe akan kembali normal,” tambahnya.

Sehingga semalam, belum ada kenyataan sama ada daripada Mugabe sendiri ataupun isterinya, Grace berhubung rampasan kuasa tersebut.

Pembangkang Zimbabwe, Parti Pergerakan untuk Perubahan Demokratik menggesa sistem pemerintahan demokrasi berperlembagaan segera dikembalikan di Zimbabwe sambil menambah, pihaknya berharap campur tangan tentera akan membawa kepada kewujudan negara yang stabil, demokratik dan progresif.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera menahan Menteri Kewangan, Ignatius Chombo yang merupakan anggota kanan kumpulan serpihan dikenali sebagai G40 dalam parti pemerintah, ZANU-PF yang diketuai Grace.

Mugabe yang merupakan ahli politik veteran Afrika telah memerintah Zimbawe selama 37 tahun.

Walaupun menerima pujian di benua Afrika, Mugabe dikecam Barat sebagai peme­rintah kuku besi yang cuai menguruskan ekonomi negara dan tidak teragak-agak menggunakan keganasan untuk terus berkuasa, sekali gus merosakkan Zimbabwe, negara paling berpotensi di Afrika.

Diktator tua itu kini ditahan di dalam kediamannya di ibu negara ini, kata Presiden Afrika Selatan Jacob Zuma.

Mugabe memberitahu Zuma dalam panggilan telefon bahawa beliau dalam keadaan baik.-16/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 803  tetamu dalam talian