14Disember2018

Myanmar rampas tanah milik etnik Rohingya - AI

Myanmar membina struktur keselamatan di kampung-kampung Rohingya yang telah dibakar, kata pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International (AI) , mencetuskan kesangsian berhubung rancangan Yangon untuk menerima semula beratus-ratus ribu pelarian Islam berkenaan.

Hampir 700,000 etnik Rohingya meninggalkan Negeri Rakhine dan berlindung di Bangladesh sejak tentera Myanmar melancarkan operasi menghapuskan pemberontak enam bulan lalu, kempen yang dianggap penghapusan etnik oleh Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Myanmar bagaimanapun menolak tuduhan itu dan memberi alasan bahawa kempen ketenteraan di Rakhine merupakan tindak balas terhadap serangan pemberontak dikenali sebagai Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA).

Laporan baharu AI bertajuk Remaking Rakhine State itu menggunakan imej satelit dan temu bual untuk membuktikan kewujudan infrastruktur tentera dan binaan lain di kampung-kampung Rohingya sejak awal tahun ini. AI menganggapnya sebagai ‘rampasan tanah’.

“Bukti baharu itu dan pembinaan semula yang dilaporkan oleh AI dalam kajian terbaharu kami menunjukkan pihak berkuasa Myanmar melakukan pembinaan di atas tanah milik Rohingya.

“Mereka juga memusnahkan rumah penduduk Rohingya sedia ada,” kata pengarah tindak balas krisis AI, Tirana Hassan kepada agensi berita AFP.

Menurut AI, infrastruktur bagi kegunaan pasukan keselamatan, tempat pendaratan helikopter, malah jalan raya turut dibina di atas dan di sekitar kediaman Rohingya yang hangus dibakar.

Imej satelit sebuah kampung bernama Kan Kya di pinggir bandar Maungdaw, Negeri Rakhine yang dirakam dua bulan selepas kempen ketenteraan pada Ogos 2017 menunjukkan sebuah penempatan hangus dibakar.

Namun, menjelang awal bulan ini, beberapa bangunan boleh dilihat di atas tanah kosong itu. AI percaya struktur yang dibina merupakan sebahagian daripada sebuah pangkalan baharu pasukan keselamatan,

Aktiviti pembinaan serupa turut dikesan di Kampung Inn Din di mana Myanmar mengaku pasukan keselamatannya terlibat membunuh 10 penduduk kiampung Rohingya pada September tahun lalu.

Myanmar dan Bangladesh sepatutnya mula menghantar pulang pelarian Rohingya hujung Januari lalu tetapi ramai enggan pulang tanpa jaminan bahawa hak asasi dan keselamatan mereka dilindungi.-13/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 396  tetamu dalam talian