14Ogos2018

Malaysia putuskan tidak hos CHOGM 2020 - Anifah

Malaysia telah memutuskan untuk tidak menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2020 tetapi terbuka untuk menghoskan acara itu pada masa akan datang, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata disebabkan permintaan yang dibuat oleh beberapa negara anggota Komanwel, penganjuran CHOGM 2020 memang dipertimbangkan oleh Malaysia.

"Bagaimanapun, pada akhirnya, Malaysia telah membuat keputusan untuk tidak menjadi hos," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Anifah berkata Malaysia sememangnya akan menjadi hos Sidang Kemuncak APEC dan mesyuarat berkaityan pada tahun itu dan di samping itu, terdapat negara anggota Komanwel lain yang menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah CHOGM 2020.

"Demi hubungan baik kita dengan negara-negara berkenaan, Malaysia telah memilih untuk tidak menjadi hos dan sebaliknya memutuskan untuk menganjurkan CHOGM pada masa akan datang," kata beliau.

Kenyataan itu sekaligus mematahkan artikel Sarawak Report yang menurut beliau cuba mengambil kesempatan daripada ketidakhadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat CHOGM di London.

"Biar saya menekankan satu perkara yang jelas kepada semua - tiada pemimpin politik yang waras dalam masyarakat demokratik yang akan meninggalkan negara untuk menghadiri sebarang mesyuarat di luar negara kurang tiga minggu sebelum pilihan raya umum diadakan," kata Anifah.

Beliau berkata artikel itu bertajuk 'UK calls on Malaysia to accept election monitoring and condemns fake news and boundary law' menampakkan tanda-tanda terdesak disebabkan sokongan yang semakin diterima oleh kerajaan dan keadaan pembangkang yang kucar-kacir.

Mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya, Anifah menarik perhatian ibahawa kali terakhir persempadan semula dijalankan ialah 15 tahun lalu.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya melaksanakan tanggungjawabnya di bawah perlembagaan untuk mengkaji semula dan mengesyorkan pindaan, setiap lapan hingga 10 tahun, untuk menjamin keseimbangan populasi antara kawasan pilihan raya," kata beliau.

Beliau seterusnya berkata Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar disokong oleh 123 anggota parlimen termasuk 10 dari pembangkang sementara 64 undi menentang.

"Ini menunjukkan bahawa lebih ramai wail rakyat yang dipilih berpegang kepada pentingnya hak kebebasan bersuara, ia harus ada batasan terhadap hak ini, dan bahawa ia tidak boleh disalahguna untuk menyebarkan berita palsu atau berita yang tidak disahkan memandangkan kesan negatif yang mungkin timbul akibat penyebarannya," kata beliau.

Anifah juga menyangkal dakwaan berhubung pemerhati luar bagi memantau pilihan raya sambil bekata SPR telah menjemput pemerhati dari 14 negara serta Malaysian Commonwealth Studies Centre of Trinity College, Cambridge yang berpusat di United Kingdom.

Bagaimanapun beliau menyatakan perkara ini: "Demokrasi Malaysia akan dipantau oleh pengundi rakyat Malaysia dan pemilih warga malaysia. Untuk menyatakan bahawa orang lain mempunyai hak, keyupayaan dan kecekapan adalah satu penghinaan kepada setiap pengundi Malaysia."

Anifah berkata pengundi Malaysia terus menarik perhatiannya dengan mesej jelas tentang apa yang mereka mahu untuk diri mereka sendiri dan anak mereka, iaitu ciri-ciri kesopanan dan kebijaksanaan.-23/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 369  tetamu dalam talian