20Mei2018

Lava merah gunung berapi di Filipina cetus panik...

Cetusan lava dari kawah sebuah gunung berapi Fi­lipina yang berderum menjadi merah bersinar semalam, memaksa ribuan penduduk berpindah selepas pakar-pakar vulkanologi memberi amaran, ia mungkin meletus dalam masa beberapa hari lagi.

Mereka berkata, gempa dan jatuhan batu menggegarkan puncak Gunung Mayon sejak 24 jam lalu, manakala beberapa letusan stim turut direkodkan.

Lebih 12,000 penduduk telah diarah meninggalkan zon berbahaya sekitar 7 kilometer dari gunung berapi itu. Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran mengenai ancaman aliran lahar dan awan toksik.

“Adalah berbahaya kepada keluarga untuk terus tinggal dalam radius tersebut dan menyedut abu gunung berapi. Hujan berterusan sejak beberapa ming­gu lalu boleh mengakibatkan serpihan terkumpul di lereng-lereng Mayon mengalir menjadi lahar,” kata ketua pejabat pertahanan awam wilayah Albay, Claudia Yucot.

Lahar merupakan terma teknikal untuk aliran lumpur gunung berapi.

Gunung berapi berbentuk kon hampir sempurna itu terletak dalam wilayah Albay, sekitar 330 kilometer ke barat daya Manila.

Letusan stim dan jatuhan batu berlaku kelmarin dan semalam dengan kawah Gunung Mayon mula bersinar. Institut Gunung Berapi Filipina (Phivolcs) berkata, situasi itu menandakan kemunculan kubah lahar baharu.

Kali terakhir lahar mengalir keluar dari Gunung Mayon ialah pada tahun 2014 yang memaksa 63,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Gunung setinggi 2,460 meter itu juga mempunyai sejarah letusan maut yang panjang.

Seramai empat pelawat asing dan pemandu pelancong maut apabila Gunung Mayon meletus buat kali terakhir pada Mei 2013.

Dalam tahun 1814 pula, lebih 1,200 orang terbunuh apabila aliran lahar mengalir turun dan menimbus bandar Cagsawa.-16/1/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 581  tetamu dalam talian