24Februari2017

Kim Jong-nam hidup menyendiri selepas kematian bapa

Kim Jong-nam yang merupakan abang tiri pemimpin Korea Utara hidup tenang di hab perjudian Asia, Macau tanpa kontroversi atau bimbang tentang keselamatan dirinya sebelum dia dibunuh, kata sumber yang rapat dengan mendiang.

Seorang veteran industri kasino yang mengenali Jong-nam sejak 10 tahun lalu berkata, kali terakhir dia menemui mendiang ialah di Hotel Four Seasons, Macau, pada bulan lalu semasa Jong-nam menjamu selera di lobi hotel itu.

“Saya sering kali melihat beliau menyendiri. Mendiang kelihatan tidak pernah mempunyai pengawal peribadi. Malah, beliau kelihatan tidak takut,” kata sumber itu yang enggan dikenali.

Empat tahun lalu, Jong-nam pernah merayu kepada adik tirinya, Kim Jong-un supaya menarik balik arahan membunuhnya, kata agensi perisikan Korea Selatan.

Beberapa penganalisis sebelum ini berkata, Jong-un percaya abang tirinya boleh dipergunakan untuk menjatuhkan rejimnya.

Satu cubaan untuk membunuh Jong-nam dilakukan pada tahun 2012, selepas itu, beliau tidak menetap lama di satu-satu tempat dan kerap melakukan perjalanan ke bandar berasingan di Asia Tenggara dan China.

Beberapa sumber kerajaan Amerika Syarikat dan Korea Selatan memberitahu, mereka percaya ejen-ejen Korea Utara merupakan dalang di sebalik pembunuhan Jong-nam di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Isnin lalu.

Bagaimanapun, sumber yang mempunyai hubungan dengan beberapa pegawai kanan Pyongyang dan Beijing menafikan Korea Utara merupakan dalang di sebalik pembunuhan itu.

“Jong-nam tiada kena-mengena dengan Korea Utara. Tiada sebarang sebab untuk Pyongyang membunuhnya,” kata sumber itu.

Beberapa rakan mendiang berkata, Jong-nam merupakan seorang yang santai dan kerap dilihat memakai pakaian kasual termasuk memakai jean dan sandal serta menggalas beg jenama Louis Vuitton.

Beliau turut mempunyai tatu berbentuk naga di belakang badannya, menurut sumber yang pernah ke gimnasium bersama mendiang.

Menurut agensi perisikan Korea Selatan, Jong-nam hidup di bawah perlindungan pihak berkuasa China di Macau bersama sekurang-kurangnya seorang isteri serta dua anaknya. Keluarganya di Macau dikatakan telah berpindah beberapa kali termasuk dari sebuah vila di tepi laut ke kediaman sederhana Ocean Garden, di pulau Taipa, Macau.

Kediaman keluarganya dikawal ketat oleh polis China.

“Jong-nam tidak kisah beratur untuk mendapatkan teksi. Ia kerja gila bagi seseorang yang berstatus seperti beliau. Mendiang juga berjimat-cermat menggunakan wangnya,” kata seorang ahli peerniagaan Macau yang mengenali Jong-nam.

Jong-nam dipercayai mati dibunuh dengan racun oleh dua ejen wanita pada Isnin lalu.-17/2/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 848  tetamu dalam talian