20Mei2018

Israel serang kedudukan tentera Iran di Syria

Tentera Israel menyerang 12 sasaran tentera Syria dan Iran di sempadan Syria yang disifatkan sebagai tindakan balas besar-besaran selepas saling melancarkan tembakan awal pagi semalam.

“Beberapa minit lalu, pesawat Israel menyasarkan Sistem Pertahanan Udara Syria dan beberapa sasaran kawasan tentera pertahanan Iran di Syria.

“Sebanyak 12 lokasi termasuk tiga kawasan pertahanan udara dan empat lokasi Iran menjadi sebahagian daripada sasaran serangan,” kata rejim Zionis itu dalam satu kenyataan.

Beberapa peluru berpandu antipesawat turut dibedil ke arah Israel sekali gus mencetuskan serangan balas apabila turut kedengaran sehingga ke bahagian utara Israel.

Serangan balas itu berlaku apabila sebuah jet pejuang, F16 Israel terhempas akibat dibedil pasukan tentera udara Syria semasa pesawat berkenaan me­lancarkan serangan ke atas beberapa kawasan sasaran Iran.

Bagaimanapun, juruterbang pesawat F16 itu dilaporkan terselamat, manakala salah seorang anak kapal cedera parah.

Pesawat tersebut bertindak selepas sebuah dron Iran didakwa masuk ke ruang udara Israel dari sempadan Syria.

Konfrantasi antara Israel dan Iran semakin buruk selepas perang saudara meletus di Syria pada tahun 2011.

Rejim Zionis berkata, konfrontasi dengan Syria itu bermula selepas sebuah dron Iran menceroboh ruang udaranya sebelum dipintas dan dimusnahkan oleh sebuah helikopter Rejim Zionis.

Rentetan konfrontasi paling serius antara dua musuh ketat itu sejak perang saudara Syria bermula pada tahun 2011, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata, beliau berikrar akan menghalang kehadiran tentera Teheran di Syria sehingga boleh mengancam Israel.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) menyokong Israel dan menyalahkan Iran berhubung peningkatan konfrontasi itu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pula meminta keganasan di Syria segera dihentikan, kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Ini kali pertama Israel membuat pengakuan terbuka menye­rang kedudukan Iran di Syria sejak perang saudara tercetus di negara itu.

Terdahulu, Iran menafikan ‘pembohongan’ Israel dan berkata, Syria berhak mempertahankan diri apabila ia diserang.

Dalam satu lagi kenyataan berasingan, Iran dan sekutu Syria lain iaitu Rusia dan kumpulan Hezbollah menafikan dakwaan pencerobohan dron Iran seperti yang didakwa oleh Israel.

Kementerian Rusia pula menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik itu supaya bertenang.

Moscow memberitahu Tel Aviv bahawa situasi yang mengancam nyawa dan keselamatan askar Rusia di Syria adalah tidak boleh diterima.-12/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 569  tetamu dalam talian