14Disember2018

Guru sekolah di Amerika diberi senjata... - Trump

Pre­siden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata bahawa langkah mempersenjatai para guru boleh membantu mencegah insiden pembunuhan beramai-ramai seperti yang berlaku di sebuah sekolah tinggi di Florida.

Saranan itu sebelum ini disokong kumpulan yang memperjuang hak pemilikan senjata api, Persatuan Rifel Kebangsaan (NRA).

Trump berkata demikian dalam pertemuan penuh emosi selama sejam dengan kumpulan pelajar yang terselamat dalam tragedi itu dan juga waris ma­ngsa di White House.

Presiden AS daripada Parti Republikan itu yang memperjuangkan hak pemilikan senjata semasa kempen pilihan raya 2016 berkata, beliau akan bertindak segera untuk menge­tatkan pemeriksaan latar belakang pembeli dan menaikkan usia pembelian sesetengah senjata api.
Advertisement

Trump juga bercakap panjang lebar mengenai bagaimana guru dan pengawal keselamatan boleh menakutkan bakal pe­nembak dan mencegah kematian pelajar sekiranya mereka dilengkapi senjata api.

“Jika kamu mempunyai seorang guru yang cekap menggunakan senjata api, maka, serangan itu akan segera dapat ditamatkan,” kata Trump.

Serangan di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas di Parkland, Florida, di mana 17 pelajar dan pendidik terbunuh pada 14 Februari lalu, dilakukan oleh seorang remaja yang bersenjatakan raifal separa automatik, AR-15 dan merupakan insiden tembakan di sekolah awam kedua paling berdarah.

Ia mencetuskan semula perdebatan berhubung hak pemilikan senjata api di AS.

Perlembagaan AS melindungi hak rakyatnya untuk memiliki senjata api, agenda yang giat dipertahankan oleh Parti Republikan. Trump bagaimanapun, semakin tertekan supaya bertindak.

Sesetengah peserta pertemuan itu menyokong saranan Trump untuk mempersenjatai guru, manakala sebahagian lagi menentangnya.

Mark Barden yang kehilangan anak lelakinya dalam insiden tembakan di Sekolah Rendah Sandy Hook di Connecticut pada 2012 berkata, isterinya, Jackie tidak akan menyokong ranca­ngan Trump.

“Dia akan memberitahu kamu bahawa guru pada masa ini berdepan tanggungjawab yang sudah cukup berat tanpa beban­an untuk mengambil nyawa orang lain.

“Tiada siapa yang mahu melihat insiden tembakan di sekolah,” katanya.-23/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 502  tetamu dalam talian