18Januari2019

Era baru untuk keamanan...

Korea Utara memuji sidang kemuncaknya dengan Korea Selatan sebagai ‘pertemuan bersejarah’ yang membuka laluan kepada satu era baharu selepas kedua-dua pemimpin berkenaan berikrar memperjuangkan perlucutan senjata nuklear dan keamanan berkekalan.

Agensi berita rasmi KCNA menyiarkan sepenuhnya teks Deklarasi Panmunjom dan menyatakan, pertemuan itu memberi laluan kepada perdamaian dan penyatuan nasional di samping keamanan serta kemakmuran.

Dalam dokumen tersebut, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jaei-in ‘mengesahkan matlamat sama ke arah Semenanjung Korea yang bebas daripada senjata nuklear’ menerusi perlucutan senjata nuklear se­penuhnya.

Namun, sebahagian penganalisis politik beranggapan deklarasi itu ungkapan manis yang terbuka kepada tafsiran kedua-dua belah pihak.

Pyongyang sudah lama meng­impikan pengakhiran kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) dan naungan nuklear AS kepada Korea Selatan, namun ia menakluki jirannya itu pada 1950 dan merupakan negara Korea tunggal yang memiliki senjata nuklear.

Penganalisis-penganalisis memberi amaran bahawa ‘pameran kemesraan’ dan ikrar Korea Utara itu akan menemui jalan buntu.

Selama bertahun-tahun, Pyongyang bertegas bahawa ia tidak akan melupuskan senjata nuklear miliknya yang diperlukan untuk mempertahan negara sekiranya diserang AS.

Namun, Pyongyang menawarkan untuk meletakkan senjata nuklear di meja rundingan sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan Korea Utara.

Dalam satu laporan berasing­an, KCNA menyatakan, kedua-dua pemimpin itu ‘bertukar-tukar pendapat dengan hati terbuka’ mengenai pelbagai isu termasuk ‘memastikan keama­nan di Semenanjung Korea dan perlucutan senjata nuklear di rantau berkenaan.’

Pada pertemuan itu, Jong-un dan Jae-in juga berikrar memeterai perjanjian da­mai untuk mengisytiharkan bahawa Perang Korea sudah tamat, 65 tahun selepas pertempuran berakhir.-30/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 551  tetamu dalam talian