24Oktober2017

Anak bilionair Malaysia tinggalkan harta kerana cinta...

Anak perempuan bilionair Malaysia, Tan Sri Khoo Kay Peng mendedahkan bahawa dia menolak harta kekayaan keluarganya kerana mahu berkahwin dengan lelaki pilihan yang tidak direstui bapanya.

Dalam wawancara eksklusif bersama You Magazine dalam akhbar The Daily Mail pada minggu lalu, Angeline Francis Khoo, 34, berkata, dia kini tidak bercakap dengan bapanya.

Kay Peng, 78, merupakan pengerusi Malayan United Industries, sebuah syarikat pelaburan yang mempunyai kepentingan yang besar dalam jenama gaya hidup, Laura Ashley dan kumpulan hotel mewah, Corus.

Majalah Forbes menganggarkan kekayaan Kay Peng berjumlah AS$300 juta (RM1.28 bilion) de­ngan beliau menduduki tangga ke-44 senarai 50 orang paling kaya di Malaysia pada tahun 2015.

Angeline merupakan anak keempat daripada lima anak Kay Peng de­ngan bekas isterinya yang pernah meraih gelaran ratu cantik Malaysia, Pauline Chai.

Angeline berkenalan dengan saintis kelahiran Carribean, Jedidiah Francis semasa belajar di Universiti Oxford pada tahun 2008.

Kay Peng dan Pauline berkahwin pada 1970 sebelum berpisah dalam tahun 2013.

Mereka berbelanja lebih AS$7.8 juta (RM34 juta) untuk membayar peguam bagi menyelesaikan masalah pembahagian harta sepencarian selepas bercerai, demikian menurut akhbar The Guardian.

Angeline memberitahu bapanya bahawa dia mahu berkahwin dengan Francis, namun beliau enggan merestui mereka.

“Saya fikir pendirian ayah adalah salah, jadi tiada persoalan tentang apa yang betul.

“Saya bertuah memiliki perspektif ini: anda boleh mendapatkan wang dan ia adalah satu rahmat; anda boleh melakukan banyak perkara dan punyai pelbagai pilihan dengan wang, namun ia ada harganya seperti kongkongan.

“Wang (kekayaan) juga menyerlahkan lagi sifat buruk yang ada pada seseorang dan ini boleh me­ngundang masalah. Untuk meninggalkan kekayaan sebenarnya sangat mudah (bagi saya). Saya tidak perlu mempertimbangkannya,” kata Angeline dalam temu bual tersebut.

Pasangan itu dilaporkan berkahwin di sebuah gereja kecil di Kolej Pembroke yang merupakan tempat Francis bekerja.

Perkahwinan mereka berlangsung sederhana dan hanya menelan belanja sekitar AS$1,980(RM8,500). Majlis itu dihadiri oleh 30 tetamu tanpa kehadiran seorang pun ahli keluarga pengantin perempuan.

Sebelum berkahwin, keluarga Angeline mahu dia bekerja dalam perniagaan keluarga.

Angeline pertama kali berpindah ke Britain pada tahun 2001 untuk belajar undang-undang di Universiti Buckingham.

Dia yang kini merupakan seorang pereka fesyen, turut mendakwa tidak mengetahui tentang kekayaan sebenar bapanya sehingga ia didedahkan di mahkamah semasa proses penceraian tersebut.

Angeline merupakan satu-satunya saksi yang dipanggil semasa perbicaraan penceraian ibu bapanya.

Kay Peng diperintahkan oleh sebuah mahkamah Britain pada April tahun ini untuk membayar sebanyak AS$84 juta (RM359.8 juta) kepada ibunya yang berumur 68 tahun sebagai bayaran penyelesaian perceraian mereka.-4/8/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 877  tetamu dalam talian