25September2018

Amaran kebakaran hutan di Indonesia naik ke paras bencana

Indonesia bergelut dengan kebakaran hutan, manakala pemerintah menaikkan paras amaran bencana di empat buah wilayah.

Kebakaran hutan yang berlaku pada setiap tahun turut mencetuskan masalah jerebu di negara jirannya, Malaysia dan Singapura.

Bencana itu yang dikesan di empat wilayah iaitu Sumatera Selatan, Riau, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, mendorong pihak berkuasa mengisytiharkan ‘status kecemasan’, satu tahap di bawah amaran tertinggi.

Beratus-ratus hektar tanah musnah sejak seminggu lalu, manakala pemerintah menggandakan usaha memadamkan kebakaran.

Sering kali, kebakaran hutan di Indonesia sengaja dicetuskan oleh petani untuk membersihkan tanah bagi tujuan pertanian.

“Kami sedang mempersiapkan beberapa pesawat untuk melakukan pembenihan awan dan helikopter bagi membawa bom air,” kata jurucakap agensi mitigasi bencana, Sutopo Purwo Nugroho.

Agensi itu akan turut mengerahkan askar, anggota polis dan bomba serta sukarelawan untuk memadamkan api, katanya.

Sutopo berkata, gabenor di empat wilayah berkenaan mengisytiharkan amaran itu berdasarkan jumlah titik panas dan saranan agensi tersebut.

Tambahnya, terdapat 90 titik panas atau kebakaran hutan di seluruh Indonesia dalam tempoh 24 jam lalu sehingga pukul 7 pagi semalam (waktu tempatan) seperti yang dikesan oleh satelit Terra dan Aqua.

Sebahagian besar titik panas itu dikesan di Kalimantan Barat.

Kebakaran hutan pada setiap tahun di Pulau Sumatera dan wilayah Kali­mantan berlaku pada musim kering yang berlanjutan selama beberapa bulan dan bermula pada bulan Januari.

Pada 2015, kebakaran hutan besar di Indonesia memusnahkan dua juta hektar tanah mencetuskan krisis jerebu di Singapura serta Malaysia.

Kajian akademik Amerika Syarikat menganggarkan kebakaran hutan itu membawa kepada lebih 100,000 kematian pramatang.-22/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 446  tetamu dalam talian