02Oktober2014

Tinggalkan Anwar, siapa beli saya?.... soal Dr Sidek Baba

prof-sidek-baba
Faktor kredibiliti dan mengutamakan kestabilan negara merupakan punca Tokoh Maal Hijrah 2009, Profesor Datuk Dr Sidek Baba memilih untuk tidak bersama bekas sekutunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang berang dengan dakwaan disogok agar meninggalkan Anwar berkata, prinsip membawa kebenaran dan perjuangan Islam dijadikan tonggak halatuju perjuangan politiknya yang kini bersama Gerakan Martabatkan Umat, JATI.

"Jangan calang-calang orang menyatakan saya dibeli. Siapa beli saya?

"Saya bekerja sebagai seorang profesor, ada rezeki saya, saya selalu bertanya apa yang patut saya sumbang kepada negara saya, untuk umat manusia, untuk umat Islam.

"Itulah prinsip hidup saya. Saya tidak akan berganjak dengan izin Allah," katanya ketika diwawancara Antarapos, baru-baru ini.

Sidek yang merupakan bekas orang kuat dalam perjuangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Anwar suatu ketika dulu berkata, percaturan politik yang semakin menjerumus kearah 'politik kacau bilau' mengakibatkan beliau mengambil pendirian untuk berjuang dalam agenda memartabatkan umat Islam.

"Bagi saya, saya tidak bercakap soal parti. Saya bercakap tentang soal kerajaan dan negara... Saya ada prinsip hidup saya, saya sumbangkan untuk negara dan umat manusia. Adakah itu salah?

"Tetapi apabila soal kredibiliti menjadi isu kepada saya, isu itu membuat saya memilih antara yang baik dan yang tidak baik. Isu itu membuat saya memilih negara yang aman dan stabil, atau tidak," katanya dengan nada tegas.

Menurut pensyarah kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini, soal integriti amat penting untuk menampilkan imej pemimpin yang berhasrat menerajui negara.

"Saya dididik, sebagai pemimpin, kamu perlu bersih dan kelihatan bersih," katanya lagi.

Sidek pernah menjadi tahanan dibawah Akta Keselamatan Negara atau ISA pada tahun 1998 selepas penangkapan Anwar pada 20 September 1998.

Malah beliau pernah didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab mencetuskan gerakan reformasi dan "kebangkitan" segelintir pelajar institusi pengajian tinggi yang menjadi penentang anti-kerajaan dan pucuk pimpinan yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Rektor di UIAM.

Fenomena ini dikatakan berlaku hampir di setiap pusat pengajian tinggi, dan UIAM dikaitkan sebagai universiti yang paling 'aktif' dengan masalah ini.

Namun beliau dibebaskan tanpa syarat pada 8 Oktober pada tahun yang sama.

Diasak supaya menerangkan lebih lanjut mengapa beliau bertukar haluan, Sidek berkata, sokongan kepada rakannya itu bukanlah berdasarkan kepartian, tetapi berasaskan matlamat perjuangan menerapkan Islam dalam sistem pemerintahan pada waktu itu.

"Katakan semasa seorang rakan saya dulu, dalam kerajaan, membantu kerajaan, ada kebaikan yang dia bawa. Bila dia jadi anggota kerajaan kabinet, yang dibawa adalah anggota pembangunan Bank Islam. Tidakkah itu baik? Yang baik saya sokong.

"Saya tidak rasa apologetik, rasa rendah diri untuk menyokong. Dibina UIA, Takaful contohnya, kita bantu.

"Kita bukan menentang kerajaan semata-mata untuk menentang begitu sahaja, tidak. Yang baik kita sokong, yang tidak baik kita kritik dengan akhlak yang baik, dengan etika yang tinggi, saya diajar begitu," katanya.

Menurut Sidek, mana-mana pemimpin tidak kira dari parti mana sekalipun, sekiranya membawa agenda dan perjuangan yang baik akan disokongnya.

"Dulu orang melihat saya menyokong ini, sokong itu. Saya bukan sokong parti politik. Saya sokong kerajaan. Zaman sahabat saya itu dulu, dalam badan Islam, saya sokong, dia (Anwar) ada cita-cita besar, saya turut menjayakan cita-cita besar itu.

"Zaman dia masuk dalam kerajaan, kami bantu. Sebab ada benda baik yang nak dibawa untuk kebaikan kepada kita, umat manusia," ujarnya.

Diasak sama ada perubahaan dirinya berkaitan dengan kredibiliti dan moral individu berkenaan, bekas Setiausaha Agung ABIM ini berkata, pemimpin yang mempunyai kredibiliti dan integriti perlu mempertahankan harga diri jika menganggap diri mereka difitnah.

"Kalau orang tuduh saya mencuri ayam, curi telur ayam. Saya patut mempertahankan diri saya, kerana saya ada integriti.

"Tetapi apabila ada orang yang dituduh macam-macam, tidak habis-habis, buat tidak tahu sahaja, saya tidak puas hati. Apa tidak berlaku dalam perjuangan hidup saya. Saya pernah dipenjara, kerana menyokong orang itu.

"Dalam penjara (sewaktu tahanan ISA), apa yang tidak ditunjukkan kepada saya? Saya orang yang berfikir, seorang Islam. Orang yang tahu yang maaruf dan batil.

"Jika tidak buat apa saya beragama. Agama yang buat kita berpendirian. Hatta saya seorang sahaja yang mempercayai kebenaran itu, saya akan mempertahankan dan Allah akan bersama dengan saya," katanya.

Anwar dipecat dari kerajaan pada 1998 akibat tuduhan rasuah dan moral.

Ada pihak mendakwa, beliau mencetuskan kekacauan dalam negara dengan mengapi-apikan penyokongnya yang taksub supaya merusuh.

Hasilnya, demonstrasi jalanan besar-besaran diadakan diseluruh negara bagi menuntut keadilan terhadap pemimpin itu yang kemudiannya ditangkap.

Natijahnya, ratusan rakyat ditahan pihak berkuasa dan 17 orang rakan rapat beliau dicekup di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA).

Antara mereka adalah Profesor Sidek Baba sendiri.-25/10/2012 

http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WqbpZn

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 488  tetamu dalam talian