02September2014

Punca penarafan media Malaysia merosot

mediamalaysia
Hakikat tidak berlaku pembaikan penarafan media massa Malaysia dalam kajian persepsi Reporters Without Border (RWB/Pemberita Tanpa Sempadan) bagi tahun 2011/2012 tidaklah memeranjatkan.

Dalam penarafan terbaru itu, RWB meletakkan Malaysia di kedudukan ke-122 daripada 179 negara yang dikaji selidik. Ini meletakkan Malaysia setaraf dengan Algeria dan Tajikistan, tetapi lebih buruk daripada Zimbabwe, Oman, Fiji dan Kemboja.

Sebenarnya kita tidak perlu dipandu oleh kajian pertubuhan-pertubuhan luar seperti RWB untuk merasai yang media massa Malaysia menjadi semakin tidak bebas dan tidak seimbang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Jadi, tidak hairanlah kalau penarafan media massa Malaysia kekal di anak tangga ke-122 tahun lalu - sama seperti tahun 2011.

Akibat cakap-cakap PRU yang berpanjangan, media massa Malaysia, khasnya media arus perdana (MAP) yang dimiliki kerajaan atau oleh parti kerajaan menjadi lebih tidak seimbang dalam laporan mereka.

Kajian penarafan RWB itu berupa kaji selidik (questionnaire) persepsi di kalangan organisasi sekutu yang meliputi 18 kumpulan kebebasan bersuara di lima benua. Turut memberi maklumat adalah 150 wakilnya di seluruh dunia serta wartawan, penyelidik, pakar perundangan dan aktivis hak asasi manusia.

Soalan yang dikemukakan merangkumi kepelbagaian dan kebebasan media, persekitaran media, penapisan sendiri (self-censorship), perundangan, ketelusan dan infrastruktur media. Turut dipantau adalah pelanggaran hak wartawan, warga Internet (netizen), jurugambar dan jurukamera.

Kesan Pilihan Raya Ke Atas Media Massa

Seperti telah saya hujahkan beberapa kali sebelum ini, MAP menjadi lebih tidak bebas dan antipembangkang menjelang PRU atas arahan pihak-pihak yang menguasai mereka atau atas pilihan sendiri. Manakala media propembangkang anak menjadi lebih antikerajaan.

Apa yang lebih menarik adalah pencapaian media massa Malaysia dalam jangka masa lebih panjang. Daripada perangkaan RWB sejak 2002, media massa Malaysia diputuskan sebagai lebih bebas pada penghujung pentadbiran (Tun) Dr Mahathir “the Wizard” Mohamad dan pada awal pemerintahan (Tun) Abdullah “Mr Clean” Ahmad Badawi.

Pada tahun 2002 misalnya, Malaysia menduduki anak tangga ke-110 dan pada 2003, iaitu tahun akhir pemerintahan Dr Mahathir, penarafan menjadi bertambah baik di anak tangga 104.

Pada tahun 2004, kedudukan Malaysia merosot 18 anak tangga kepada 122 apabila Abdullah mula menampakkan taringnya dengan melakukan rombakan besar terhadap media arus perdana, khususnya media milik Umno.

Sebaik saja perubahan itu dilakukan, MAP mula menyerang Dr Mahathir dan tidak memberikan beliau ruang untuk membela diri.

Bagaimanapun, pada dua tahun berikutnya – 2005 dan 2006 – penarafan menjadi bertambah baik apabila Abdullah mula mempamerkan sikap yang lebih lembut. Serentak itu, kerajaan beliau mula dicabar pelbagai pihak, terutama oleh media alternatif. Penarafan Malaysia naik kepada 113 pada tahun 2005 dan pada 2006 mencatat aras terbaik di kedudukan ke-92.

Pada tahun 2007, ia merosot semula kepada 124 akibat laporan berat sebelah MAP terhadap tunjuk perasaan Bersih dan Hindraf serta menjadi lebih buruk apabila PRU diadakan pada 2008. Kedudukan Malaysia jatuh ke nombor 132.

Penarafan media massa Malaysia naik sedikit pada 2009 kepada 131 apabila Mohd Najib “Wira” Abdul Razak mengambil alih pentadbiran daripada Abdullah.

Tetapi pada tahun berikutnya (2010), prestasi media massa Malaysia jatuh ke paras terburuk, iaitu 141 akibat laporan media massa arus perdana mengenai kes liwat kedua Anwar Ibrahim dan tunjuk perasaan Bersih.

Sedikit Kesan Pemansuhan ISA

Selepas itu, hasil tindakan kerajaan membatalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa undang-undang lain serta berjanji melonggarkan peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan menyebabkan penarafan media massa Malaysia naik sedikit kepada 122 pada 2011 dan kekal pada anak tangga itu tahun lalu.

Penarafan Malaysia tidak menjadi bertambah baik kerana sejak cakap-cakap PRU timbul, media massa arus perdana kembali membuat laporan berat sebelah menyokong kerajaan dan memburuk-burukkan pembangkang.

Namun begitu, secara peribadi, saya kurang setuju dengan penarafan RWB itu. Saya rasa mereka terlalu terpengaruh dengan perlakuan MAP tanpa memberi pertimbangan yang lebih berat dan positif kepada peranan media alternatif, khasnya yang berasaskan internet.

Media baru, alternatif dan internet semakin berpengaruh, lebih-lebih lagi di kalangan audiens yang tidak menggunakan MAP sebagai sumber maklumat. Kalau pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada media baru, saya rasa persekitaran media Malaysia cukup bebas.-4/2/2013 -http://kadirjasin.blogspot.com

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1250  tetamu dan tiada rakan dalam talian