21Oktober2014

Mengapa RCI untuk satu Malaysia tidak boleh?

kadir-dikerumuni-wartawanxx
Waktu saya membesar di kampung pada tahun 1950-an dan 60-an, ramai orang Melayu pelihara anjing. Lagi-lagilah kalau rumah mereka di pinggir hutan atau terpencil.

Tidak ingat pula orang kata yang orang Islam tidak boleh pelihara anjing atau diperbesar-besarkan soal najis dan samak. Kita diajar dan disuruh amalkan samak.

Jadi, sedikit sebanyak saya tahulah tabiat dan sifat anjing. Salah satunya, jangan ganggu anjing yang sedang tidur. Silap-silap kena terkam dan kena gigit. Kalau anjing itu dijangkiti kuman penyakit anjing gila (rabies), kita pun kena juga. Dulu tidak ada ubat. Jawapannya maut.

Peribahasa Inggeris ada mengatakan “let the sleeping dogs lie” yang maksudnya janganlah dibangkitkan sesuatu yang akan membawa bencana dan keburukan.

Tetapi nampaknya bukan sahaja ada orang kita yang mengganggu anjing sedang tidur malah mengacah dan mengusiknya pula. Itulah analogi yang terlintas dalam fikiran saya apabila membaca berita mengenai reaksi banyak pihak terhadap hari-hari awal sidang Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bersabit pendatang asing di Sabah.

Jadi Apa Salah RCI Untuk Satu Malaysia?

Kalau begitu banyak pihak, khasnya parti-parti pembangkang, mahu RCI Sabah itu ditubuhkan dan kerajaan Barisan Nasional Mohd Najib Abdul Razak akur, apalah salahnya bagi (Tun) Dr Mahathir “the Wizard” Mohamad, mencadangkan supaya suruhanjaya yang serupa ditubuhkan bagi menyiasat pemberian kewarganegaraan kepada sejuta orang keturunan Cina dan India menjelang kemerdekaan 1957?

Apa salahnya kita siasat sama ada mereka diberikan kerakyatan dengan cara yang betul dan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan?

Elok dibuat sekarang sebelum terlambat kerana tidak berapa ramai lagi orang Cina dan India yang dapat kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu waktu itu masih hidup. Orang Melayu yang tahu hal itu pun sudah tua-tua belaka.

Demi sejarah dan demi ketelusan yang menjadi mantera zaman ini, saya pun hendak tahu juga, misalnya, masa mereka dibagi kerakyatan, adakah mereka boleh menguasai bahasa Melayu atau Inggeris dengan baik seperti disyaratkan?

Atau adakah mereka bersumpah taat setia kepada raja dan negara serta memenuhi syarat-syarat mastautin?

Bahagian 12 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mengenai kerakyatan menyebut:-

Kerakyatan Persekutuan pada dan kemudian daripada hari yang ditetapkan itu orang-orang yang tersebut di bawah ini hendaklah menjadi rakyat Persekutuan:

(a)Mana-mana rakyat Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu sama ada diperanakkan dahulu, atau pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan.


(b)Mana-mana rakyat British yang diperanakkan di Negeri-negeri Selat sama ada dahulu, atau pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan.


(c)Mana-mana orang yang diperanakkan dahulu, pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan itu dalam mana-mana negeri yang sekarang akan terkandung dalam Persekutuan dan bertabiat bercakap bahasa Melayu dan mengikut adat resam Melayu.


(d)Mana-mana orang yang lain diperanakkan dahulu, atau pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan dalam mana-mana negeri yang akan terkandung dalam Persekutuan yang ibu bapa kedua-duanya diperanakkan dalam mana-mana negeri itu dan pada masa diperanakkan itu telah atau akan tinggal tetap dalam negeri-negeri itu.


(e)Mana-mana orang yang bapanya pada tarikh diperanakkan orang itu ia sedia menjadi rakyat Persekutuan.

Kerakyatan Secara Permohonan:

(a)Ia telah diperanakkan dan telah tinggal dalam mana-mana negeri-negeri dalam Persekutuan selama 8 daripada 12 tahun terdahulu daripada permintaannya.


(b)Telah tinggal 15 tahun daripada 20 tahun awal daripada permintaannya dengan syarat berperangai baik, mempunyai pengetahuan yang cukup tentang bahasa Melayu atau Inggeris, membuat pengakuan akan tinggal tetap dan mengangkat sumpah taat setia kepada Persekutuan.

Ada Lagi Tidak Boleh Cakap Melayu

Kita tahulah, sampai hari ini pun ada lagi “rakyat” Malaysia yang tidak boleh berbahasa Melayu. Malah semakin ramai tidak berasa perlu belajar atau menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Jadi, apalah salahnya Dr Mahathir atau sesiapa sahaja mendesak ditubuhkan RCI bagi menyiasat pemberian kerakyatan kepada orang Cina dan India ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan?

Pengalaman saya dengan anjing banyak. Sewaktu belajar dan melawat luar negara serta tinggal dengan keluarga angkat orang Eropah, saya terpaksa berbaik-baik dan menjaga anjing mereka.

Anjing adalah haiwan yang sangat mereka sayangi dan anjing mereka cerdik. Jadi, kalau kita hendak menguasai anjing mereka yang cerdik itu, kita kena lebih cerdik daripadanya.

Saya pernah menjaga seekor anjing jenis German Shepperd (sama macam gambar di atas) milik sepasang suami-isteri Amerika di bandar Springfield, Illinois pada tahun 1980-an. Pada mulanya anjing itu menyalak dan menunjuk garang, tetapi apabila saya berdepan dengannya dan tidak menunjukkan takut ia berhenti menyalak dan akhirnya kami jadi kawan.

Kalau kita dikejar anjing, jangan lari. Anjing lebih pantas daripada kita. Kita berhenti, tunduk seolah-olah kita mengambil sesuatu dan menyergahnya. Itulah yang saya pelajari dan lakukan sewaktu berulang-alik melintasi kampung Cina di pekan Pendang ketika bersekolah dahulu.

Kita juga belajar menendang anjing yang mengejar kita ketika menunggang basikal. Wallahualam.-28/1/2013 -http://kadirjasin.blogspot.com

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1179  tetamu dalam talian