22Februari2018

Kenapa PH beria-ia mahu menjaga kepentingan negara asing?

Hampir tergelak saya membaca Kenyataan Bersama Majlis Setiausaha Pakatan Harapan yang ditandatangani oleh Liew Chin Tong dari DAP, Dr Dzulkefly Ahmad dari AMANAH, Datuk Dr Rais Hussin dari PPBM dan Syed Ibrahim Syed Noh dari PKR hari ini, 21 Januari 2018.

Di dalamnya, mereka “menggesa Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak untuk memberi taklimat kepada calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad serta Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan berkaitan keputusan-keputusan dasar luar negara untuk menjamin konsensus dwiparti dan peralihan kuasa yang sempurna jika atau bila berlaku perubahan kerajaan.”

Kata mereka lagi: “Pada ketika Malaysia memasuki pusingan terakhir menuju PRU14, yang bakal berlaku dalam masa seratus hari akan datang, dan untuk menjamin dasar-dasar luar negara yang telah ditetapkan kerajaan sekarang akan diteruskan kerajaan yang akan datang jika berlaku perubahan kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab DS Najib untuk memberi taklimat kepada calon Perdana Menteri Pakatan Harapan serta Ahli-Ahli Parlimen untuk membina konsensus dan tidak mendatangkan kesan negatif kepada rakan-rakan negara asing.”

Tambah mereka: “Dalam mana-mana demokrasi matang, Ahli-Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak akan duduk bersama di dalam jawatankuasa dasar luar negara Parlimen atau Kongres yang cukup berkuasa untuk meneliti dasar-dasar luar negara kerajaan sedia ada dan membina konsensus yang luas. Dan, untuk menjamin negara-negara asing tidak terkesan akibat perubahan kerajaan, dalam mana-mana demokrasi matang Ketua Pembangkang biasanya akan diberi taklimat oleh kerajaan berhubung dasar luar negara dan isu-isu keselamatan.”

Kenyataan Bersama Majlis Setiausaha Pakatan Harapan ini, bagi saya, adalah sangat kelakar sekali kerana mana ada di dalam mana-mana peruntukan undang-undang negara obligasi bahawa Perdana Menteri perlu memberi taklimat kepada calon Perdana Menteri lawan berkaitan keputusan-keputusan dasar luar negara mahupun keputusan-keputusan lainnya.

Calon Perdana Menteri adalah tidak diiktiraf di dalam mana-mana peruntukan undang-undang negara, malah jawatan Ketua Pembangkang pun hanya wujud di dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang sekadar menyebut, di dalam Fasal 4a (1), bahawa “maka hendaklah ada... seorang Ketua Pembangkang”, di dalam Fasal 4a (2), bahawa “Ketua Pembangkang ertinya berhubungan dengan Majlis Mesyuarat, ahli Majlis Mesyuarat yang sedang menjadi Ketua Kumpulan pihak Pembangkang”, tanpa apa-apa obligasi.

Jika sekalipun Majlis Setiausaha Pakatan Harapan terlebih yakin bahawa ia akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, keterlebihyakinan, yang sebenarnya tidak disertakan dengan sebarang bukti ini, tidaklah sampai boleh mewajarkan ia melakukan sesuatu yang tidak pernah pun dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini, termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu memberi taklimat kepada mana-mana calon Perdana Menteri berkaitan keputusan-keputusan dasar luar negara mahupun keputusan-keputusan lainnya.

Lebih perlu difikirkan lagi ialah Kenyataan Bersama Majlis Setiausaha Pakatan Harapan ini menzahirkan bahawa, bagi Pakatan Harapan, kepentingan negara asing adalah lebih penting berbanding kepentingan negara sendiri kerana apa yang tercatat di dalam kenyataan bersama ini ialah hasrat Pakatan Harapan “untuk tidak mendatangkan kesan negatif kepada rakan-rakan negara asing” dan “untuk menjamin negara-negara asing tidak terkesan akibat perubahan kerajaan” bukannya “untuk tidak mendatangkan kesan negatif kepada negara sendiri” dan “untuk menjamin negara sendiri tidak terkesan akibat perubahan kerajaan”.

Soalan yang perlu kita jawab bersama sekarang ialah: Kenapa Pakatan Harapan terlalu gelojoh dengan kuasa sedangkan bayang kuasa pun masih jauh dari kelihatan dan kenapa pula Pakatan Harapan kelihatan terlalu fokus untuk menjaga kepentingan negara asing?-22/1/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 650  tetamu dalam talian