27Mac2017

Beauty and the Beast ajak penonton terima homoseksualiti

Masih belum reda isu tayangan filem Beauty and the Beast di Malaysia apabila ada netizen terus menerus mempersoalkan sebab filem tersebut tidak ditayangkan di pawagam negara ini.

Disebalik persoalan itu, seorang pensyarah Pengajian Media di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Farami tampil memberikan penjelasan dan menjawab persoalan yang dilontarkan netizen selepas Disney mengeluarkan kenyataan membatalkan tayangan filem animasi itu di Malaysia.

Menerusi perkongsian Ahmad di Facebook, dia menjawab 15 soalan yang sering dilontarkan netizen yang menyokong filem Beauty and the Beast.

Ada netizen yang membuat perbandingan di antara filem tempatan dengan filem Beauty and the Beast dengan persoalan yang nyata dijawab Ahmad dengan penjelasan yang kukuh dan ilmiah.

Ahmad menjelaskan, adegan bunuh dan merompak yang dipaparkan adalah mengikut garis panduan penyiaran iaitu yang jahat dihukum setimpal atau ada keinsafan di hujung cerita.

“Tapi gay dalam cerita Hollywood diraikan. Cerita gay selalunya menang anugerah. Skrip Hollywood simpatetik terhadap watak gay. Masyarakat yang disuruh insaf, dan menerima homoseksualiti,” tulisnya.

Jelasnya, lucah tidak semestinya eksplisit. “Gay moment”, idea homoseksualiti, pandangan dan sentuhan ‘suggestive’ dalam B&B juga lucah (‘indecent’) berdasarkan sensitiviti tempatan.

Ahmad turut menjelaskan maju sesebuah negara itu bukan terletak kepada penerimaan terhadap golongan gay tetapi maju membawa maksud celik norma etika tempatan, mampu menilai dengan kritis propaganda dan normalisasi LGBT.

“Maju itu adalah bebas daripada penjajahan budaya. Apa yang biasa di Amerika Syarikat (AS) tak semestinya dapat diterima di sini. Di AS sendiri, pawagam di Alabama boikot B&B. Jangan kita lebih sudu daripada kuah,” tulisnya.

Dia turut menjelaskan mengenai kewujudan golongan gay yang sudah ada sejak zaman Nabi Luth dan mahu netizen memikirkan kesudahan kepada nasib golongan tersebut.

“Memang dah ada lama dah, sejak zaman Nabi Luth a.s. Tapi, homoseksualiti cuba dinormalisasi melalui filem kontemporari. Ini menyebabkan ‘desensitisation’ (cair sensitiviti) masyarakat terhadap penyimpangan LGBT,” tulisnya.

Ahmad juga menyokong tindakan Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang membenarkan tayangan sekiranya adegan gay tersebut dipotong.

“Your liberal parental sensibilities are insignificant. Kalau Censorship Board tak buat kerja, majoriti ibu bapa akan persoalkan tanggungjawab moral agensi tersebut.

“Dalam kehidupan sosial ini, kanak-kanak belejar mengenai nilai dan norma melalui media massa. Ini adalah proses sosialisasi,” tulisnya.

Apabila dianggap ‘bodoh’ kerana menyekat tayangan filem B&B, Ahmad menganggap itu adalah tindakan cerdik kerana mengambil kira sensitiviti majoriti, dan kesan jangka masa panjang.

“Bodoh, bila utamakan Emma Watson berbanding maslahah awam,” tulisnya.

Perkongsian Ahmad Farami ini mendapat sokongan netizen lain yang bersetuju dengan penjelasannya yang lebih berbentuk ilmiah dan tidak menghentam dengan membuta tuli.

“Sesetengah pembikin filem Hollywood mempromosi apa yang disebut Human Rights dalam filem2 yang dikeluarkan oleh mereka. Ini bukan pertama kali promosi LGBT berlaku dalam filem, malah dalam tv show/series pun kerap dibuat. Antaranya tv series Supergirl terbitan CW juga mempromosi LESBIAN menerusi watak Alex Danvers (kakak angkat Supergirl).

“Jangan cepat melatah. Sedangkan filem ini kena banned di Alabama, malah di Rusia diletakkan di bawah kategori Adult. Anglican Church pun tak setuju dengan karakter filem tu. Kau yang Islam kenapa pula nak lebih2?,” tulis Tuan Zam.

Semalam, Walt Disney Co telah menarik balik tayangan filem itu kepada satu tempoh yang tidak diberitahu.

Walt Disney menarik balik tayangan filem tersebut di semua pawagam di Malaysia selepas adegan dalam filem itu yang membabitkan adegan dan karakter gay dipotong.

Filem Beauty and the Beast dibarisi pelakon ternama antaranya Emma Watson, Ewan McGregor, Gugu Mbatha-Raw, Ian McKellen dan Stanley Tucci dan sepatutnya mula ditayangkan di Malaysia pada Khamis, 16 Mac.-16/3/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 868  tetamu dalam talian