19November2017

Yusof Haslam geram habis filemnya bocor di Youtube

Hati mana tidak sedih dan geram apabila karya yang dihasilkan dengan bersusah payah dicuri tanpa rasa belas oleh sesetengah pihak yang tidak berhati perut.

Itu yang berlaku pada filem Abang Long Fadil 2 (ALF2) yang dimuat naik di laman YouTube ketika ia baru ditayangkan di pawagam pada 24 Ogos lalu.

Hangus hati pengarah dan penerbitnya, Datuk Yusof Haslam apabila mendapat tahu kejadian tersebut.

Mujur, penyebaran filem kerjasama pertama Skop Production dan Astro Shaw itu di YouTube berjaya dipadamkan.

Tidak mahu ia berulang kembali, Yusof mendedahkan, dia bersama dengan unit tindakan khas pembanteras cetak rompak yang terdiri daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Persatuan Penerbit Filem Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang berani memuat naik lagi karya tersebut.

“Walaupun ia sempat dimuat naik cuma beberapa jam, namun sudah ramai yang menontonnya. Saya sudah buat laporan polis dan tindakan telah diambil ke atas individu tersebut.

“Maka, nasihat saya kepada orang ramai jangan cuba-cuba lagi muat naik karya tersebut, menyebarkannya atau menekan butang like pada karya yang disebar kerana tindakan tegas akan diambil,” laung Yusof ketika dihubungi Sensasi Bintang.

Terdahulu, Astro Shaw membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur apabila rakaman filem ALF2 dimuat naik individu tidak bertanggungjawab di YouTube.

Pada masa sama, Yusof Haslam turut membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Selangor.

Rakaman filem itu dilakukan secara tersembunyi dari sebuah pawagam dan telah dimuat naik di YouTube pada pukul 8.55 malam.

Bagaimanapun, perkara itu telah disedari oleh Yusof dan amaran telah dikeluarkan kepada pihak terbabit.

Rakaman itu kemudian dipadamkan daripada YouTube pada pukul 9.45 malam.

Namun, video itu sempat ditonton lebih 100 pengguna.

Dalam perkembangan lain, Yusof bersyukur kerana filem arahan anaknya, Syafiq itu berjaya mengatasi kutipan Abang Long Fadil selepas lima hari ditayangkan di pawagam.

“Alhamdulillah, ALF2 berjaya meraih kutipan RM5 juta selepas lima hari ditayangkan mengatasi Abang Long Fadil yang mendapat kutipan RM5 juta selepas sebulan ditayangkan di pawagam,” ujarnya mengenai filem yang dibintangi oleh Zizan Razak, Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu, Achey, Tania Hudson, Wak Doyok dan A. Galak itu.

Selepas kejayaan Abang Long Fadil yang ditayangkan pada tahun 2014, Syafiq kembali membawakan sekuel watak yang diangkat daripada filem KL Gangster, ALF2.

ALF2 mengisahkan perjalanan hidup Fadil, yang terjerumus ke dalam dunia mafia, didalangi oleh Taji Samprit dan anaknya Wak Doyok.

Berlaku satu insiden menyebabkan Fadil disalah anggap oleh Inspektor Wahab dan Inspektor Shuib sebagai pembunuh upahan dikenali sebagai Tiger.

Fadil terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang pembunuh upahan walaupun dia bukanlah pembunuh. Sasaran pertama Fadil ialah King Kong, seorang yang gila kuasa dan musuh kepada Taji Samprit.

Pelbagai aksi dan situasi komedi berlaku dalam perjalanan hidup Fadil sebagai seorang pembunuh upahan. Hanya satu cara untuk membersihkan namanya, iaitu mencari identiti sebenar Tiger bagi membetulkan keadaan dan membuktikan Fadil tidak bersalah.-3/9/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 694  tetamu dalam talian