26September2018

Selepas beberapa hari dipenjara... Armin dijamin

Selepas beberapa hari meringkuk di penjara kerana tiada penjamin, suami Ziana Zain,  Armin Zaharin Ahmad Zambri hari ini bebas selepas dijamin ahli keluarganya.

Armin, 53, sebelum itu ditempatkan di Penjara Sungai Buloh kerana tidak dijamin oleh sesiapa selepas didakwa di mahkamah kelmarin atas kesalahan mencederakan anaknya pada 24 Februari lalu.

Pagi tadi, bekas pramugara itu sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan berdepan hukuman lebih berat selepas pihak pendakwaan meminda pertuduhan atas kesalahan itu yang dilakukan pada 24 Februari lalu.

Sebelum ini, Armin hanya didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau dua dari mana-mana seksaan itu.

Armin yang memakai baju kelabu serta berseluar jeans bagaimanapun mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Armin yang bekerja sendiri, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.

Perbuatan berkenaan dilakukan di rumahnya di Denai Alam, dekat sini, antara 8 malam hingga 10.30 malam, 24 Februari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 326A KK.

Sabit kesalahan, dia yang diwakili peguam Muhammad Zufar Elias, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau sebatan.

Raja Noor Adilla mengekalkan ikat jamin yang ditawarkan sebelum ini iaitu RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 6 April depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Selasa lalu, di mahkamah sama, Armin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 KK kerana mencederakan anak lelakinya berusia sembilan tahun itu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dua dari seksaan berkenaan.

Armin dan Ziana mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.-8/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 435  tetamu dalam talian