22Mei2018

Sasterawan negara Lim Swee Tin ke pentas teater

Setelah lebih empat dekad berkecimpung dalam dunia penulisan dan penerbitan puisi, impian sasterawan negara Profesor Madya Dr Lim Swee Tin untuk ke pentas teater akhirnya tercapai.

Beliau bakal membuat penampilan sulung dalam teater berjudul 'Limau Nipis Naga Berseru' di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada Jumaat dan Sabtu ini.

Lim yang terkenal sebagai penyair berkata beliau teruja untuk memegang watak sebagai Raja Sakti Bongsu dalam teater itu, dan tidak gentar untuk melakonkan watak tersebut.

"Sejak kecil lagi saya minat dan suka menonton persembahan menora yang dilakonkan oleh bapa saudara saya, namun tidak pernah berpeluang untuk mempelajarinya.

"Tetapi kini saya mempunyai banyak masa yang terluang dan inilah peluang yang saya nanti-nantikan iaitu untuk melakukan perkara yang saya minati," katanya kepada Bernama.

Pada persembahan itu, Lim akan muncul sebanyak tiga kali dalam teater yang menggabungkan tiga kesenian tradisional yang dinamakan 'WADIRA', iaitu gabungan wayang kulit, dikir barat dan menora.

Teater selama sejam setengah itu merupakan sebahagian program Panggung Seni Tradisional 2018: WADIRA anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di MaTiC.

Lim berkata bagi menjayakan watak Raja Sakti Bongsu itu, beliau juga akan memakai satu persalinan kostum menora yang dibawa khas dari Thailand.

"Saya menjanjikan satu kostum menora yang sangat indah dan ia ditempah daripada seorang pakar pembuat baju menora di selatan Thailand," katanya.

Teater yang dibawakan oleh kumpulan Akademi Dikir Barat Arjunasukma itu turut mengetengahkan pelakon dan pengarah Sabri Yunus sebagai tukang karut dalam segmen persembahan dikir barat.

Sabri, 57, atau kini lebih dikenali dengan gelaran 'Pok Ya Cong Codei' berkata, ini merupakan penampilan pertama beliau dalam teater yang menggabungkan ketiga-tiga kesenian itu.

"Selain daripada dikir barat sebagai penyambung cerita dalam teater ini, saya lihat gabungan antara menora dan wayang kulit ini secara tidak langsung ada ciri-ciri persamaan dalam bentuk penceritaan dan wataknya seperti watak-watak raja, pengasuh dan saya lihat penggabungan ini dapat tersulam dengan cantik," katanya.

Teater itu menceritakan mengenai pemerintahan seorang raja yang ber'permaisuri'kan seekor ibu 'bota', iaitu makhluk yang menyamar sebagai manusia untuk merampas kuasa raja itu.

Pada suatu hari, raja telah menitahkan puteranya untuk ke hutan kononnya mencari ubat yang dinamakan 'Limau Nipis Naga Berseru'.

Bagaimanapun sang putera (Raja Sakti Bongsu) mengetahui bahawa titah itu hanyalah muslihat permaisuri untuk mengeluarkan baginda dari istana dan memudahkan permaisuri membuat onar serta merampas kuasa.

Orang ramai yang ingin menyaksikan teater ini boleh mendapatkan tiket berharga RM20 dan RM50 dengan menghubungi talian 012-518 6452 atau 019-482 0000.-14/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1396  tetamu dalam talian