20Ogos2018

Polis sudah kenal pasti identiti geng Sofi Jikan

Polis sudah mengenal pasti identiti dua individu yang disyaki terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah bersama pelakon, Sofi Jikan seperti yang didakwa oleh pelakon dan pengarah filem popular, Datuk Farid Kamil Zahari baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, buat masa ini, hanya Mohamad Shoffi Jikan, 48, ataupun lebih dikenali sebagai Sofi Jikan, tampil untuk memberi keterangan.

“Kami sudah mengenal pasti identiti dua lagi individu yang dimaklumkan oleh Farid Kamil dan setakat ini, mereka masih belum tampil lagi untuk memberi kenyataan berhubung dakwaan berkenaan.

“Saya tidak boleh mendedahkan identiti dua individu tersebut kerana kes ini masih dalam siasatan pihak polis,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar kejayaan JSJN Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada Rabu.

Terdahulu, Sofi Jikan ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara pada pukul 11 malam tadi selepas beliau hadir memberikan keterangan berhubung laporan polis yang dibuat oleh Farid Kamil pada 31 Januari lalu.

Beliau direman selama tiga hari bermula Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, adik Sofi Jikan iaitu Shaiful Jikan enggan mengulas berhubung dakwaan abangnya yang dikatakan menjadi dalang cuba untuk menganiaya aktor, Datuk Farid Kamil dengan memasukkan dadah ke dalam minuman.

Shaiful meminta agar pihaknya diberi ruang untuk menyelesaikan kes melibatkan aktor berkenaan dan berharap peminat aktor itu mendoakan semuanya berjalan dengan baik.

"Maaf ya, bagi ruang kepada kami untuk selesaikan dahulu. Semoga semua urusan dipermudahkan dan baik-baik sahaja," ujarnya.

Sofi ditahan pada Selasa, pukul 11 malam ketika hadir untuk memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara berhubung laporan polis yang dibuat Farid pada 31 Januari lalu dan ditahan selepas didapati positif dadah jenis ganja.

"Saya tiada komen tentang itu kerana ia masih dalam siasatan polis," ujarnya.

Menurut laporan sebelum ini, Farid didakwa mendedahkan tiga rakan artis yang terlibat meletakkan dadah dalam minumannya.

Individu yang turut dikaitkan dalam laporan itu ialah Sofi Jikan namun laporan berkenaan tidak didedahkan.-8/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 531  tetamu dalam talian