14Ogos2018

‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ di pawagam 10 Mac

Selepas muncul menerusi Cerita-cerita Didi & Friends di pawagam Mac tahun lalu, Digital Durian kembali mempertaruhkan ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ yang akan ditayangkan bermula 10 Mac depan.

Pengasas Digital Durian yang juga pengarah untuk ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’, Sinan Ismail berkata, dia mendapat idea untuk menghasilkan filem ini semasa menyertai satu pratonton kompilasi Cerita-cerita Didi & Friends tahun lalu.

"Ketika duduk di dalam pawagam menyaksikan respons penonton, saya lihat ramai kanak-kanak menyanyi dan menari di bahagian depan skrin.

"Jadi dari situ timbulnya idea untuk buat satu filem berkonsepkan konsert supaya kanak-kanak bebas menari dan menyanyi bersama tanpa ada sesiapa yang marah.

"Selain itu, saya mahu mengembangkan pengalaman dari skrin TV ke panggung wayang.

"Secara tak langsung, ia juga memberi peluang untuk ibu bapa meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak mereka sambil berhibur," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai pemilihan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Tomok yang terlibat secara langsung dalam pembikinan ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’, Sinan berkata, idea itu sudah timbul sejak tiga tahun lalu.

"Sebenarnya idea untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Siti timbul sejak tiga tahun lalu lagi. Masa kita lamar dia, dia sedang mengandung, tapi kami bertuah sebab dia bersetuju untuk menyanyikan lagu Oh Nana.

"Kita zahirkan wataknya sebagai Mak Iti dalam bentuk animasi 3D. Bila dengar dia nyanyi terasa naluri keibuannya dan sangat sesuai dengan lagu tersebut.

"Manakala Tomok pula, hubungan dengan anak-anaknya sangat rapat. Jadi kita rasa Tomok sangat sesuai terlibat dengan filem ini.

"Kehadiran Tomok dalam persembahan lagu tersebut merupakan satu-satunya kemunculan karakter bukan animasi yang hadir dalam ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’," jelasnya lagi.

Sinan berkata, apa yang diharapkan ibu bapa dapat membawa anak-anak ke pawagam dan meluangkan masa bersama-sama menyaksikan konsert animasi pertama di pawagam.

"Saya harap mereka akan dapat create the moment dan jangan lupa ambil gambar atau video dan hashtag kami di laman sosial," katanya.

Konsert yang dijayakan oleh watak Didi, Nana, Jojo dan rakan-rakannya ini akan ditayangkan di pawagam-pawagam TGV seluruh Malaysia dan The Mall, Brunei sempena cuti persekolahan yang bakal tiba.

Penonton akan dihiburkan selama 80 minit dengan persembahan 30 buah lagu di mana 17 daripadanya merupakan lagu baharu, tujuh buah lagu hit yang telah melonjakkan jenama Didi & Friends dan enam buah lagu yang telah diberi nafas baharu.

Siri jelajah ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ akan dijalankan di dua lokasi iaitu di Johor (Tebrau City, 13 hingga 25 Mac) dan Kuala Lumpur (Sunway Velocity Mall, 15 hingga 25 Mac).

Selain itu, peminat animasi ini kini boleh menyanyikan lagu-lagu popular Didi & Friends bersama keluarga dan rakan-rakan di pusat karaoke keluarga Neway Karaoke dan Redbox Karaoke bermula pada Februari 2018.

Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1 Malaysia (SSPN1M) merupakan penaja utama dan rakan ceria ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’.

Konsert ini turut mendapat sokongan daripada TGV Cinemas, Kumpulan Media Karangkraf serta Toyworld.-2/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 496  tetamu dalam talian