15Ogos2018

Kisah di sebalik nama Nadia Brian

Pendatang baru di persada skrin TV, Nadia Brian yang diuji bakat lakonan teater semasa pengajiannya tiga tahun lalu di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam,  berkata dia sudah lama menggunakan nama tersebut.

Pengalaman berlakon teater turut memberi peluang kepada Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi, dengan watak dalam teater Bawang Putih Bawang Merah selain sudah bersedia dengan kontroversi seperti ini akan timbul, percaya tidak menjadi kesalahan menggunakan nama datuknya.

Kata pelakon yang berdarah kacukan berbanding Melayu sejati ini, dia  sebati dalam keluarga dan rakan-rakannya sejak kecil lagi menggunakan nama Nadia Brian.

“Saya sememangnya sudah lama menggunakan nama tersebut. Malah nama Nadia Brian juga sudah sebati dalam keluarga dan rakan-rakan saya  sejak kecil lagi.

“Tentang isu nama ini, tiada yang perlu diperbesar-besarkan kerana datuk saya, Brian Goldring Abdullah seorang warga Australia.

“Saya ‘bawa’ nama datuk sebagai rasa penghargaan saya kepadanya. Lagipun nama Nadia Brian itu sudah lama dikomersialkan sejak saya mengenali media sosial di Internet.

“Saya menggunakan nama yang sama sewaktu saya menceburi bidang peragaan. Juga ketika saya melangkah masuk dalam dunia lakonan.

“Salahnya kalau seseorang itu tiada kaitan dengan nama-nama tertentu tetapi dengan sengaja menggunakan nama tersebut untuk mempopularkan diri mereka,” kata Nadia.

Anak kelahiran Negeri Perlis yang dibesarkan di Kelantan, bersyukur sejak kali pertama melangkah dalam lakonan pertengahan tahun ini, dia  menerima banyak tawaran berlakon.

Langkah awalnya bermula dalam drama Akulah Balqis  melakonkan watak Milda, isteri yang berdepan dengan pelbagai konflik dengan baik sekali.

Bagi gadis berusia 24 tahun ini, watak sebagai isteri kepada pelakon Nazim Othman, walaupun pertama kali berlakon bersama, namun mampu dilakonkan dengan baik dan pendapat pujian penonton drama TV.

“Alhamdulillah selepas itu, saya  turut di beri kepercayaan untuk berlakon dalam drama Rumi dan Jawi sebelum ditawarkan menjadi peneraju utama untuk drama rantaian berjudul Nifaq yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

“Malah saya juga akan melebarkan sayap ke layar putih apabila bakal menandatangani perjanjian dengan produksi filem awal tahun depan, Insyallah” katanya.

Nadia yang menggenggam ijazah sarjana muda dalam bidang penyiaran dari

UiTM, turut di anggap antara pelakon yang bertuah kerana langkah pertamanya mendapat kepercayaan daripada penggiat seni tempatan.

Hadir dengan pakej yang lengkap, Nadia juga menampilkan kelebihan dengan kualiti lakonan yang dikatakan setaraf dengan pelakon lebih senior.

“Saya mengakui ilmu dalam bidang pementasan teater yang dipelajari di UiTM Shah Alam, tiga tahun lalu banyak membantu mengilap bakat saya.

“Saya juga berterima kasih atas sokongan  peminat yang menganggap saya pelapis pelakon baharu generasi yang berpotensi.

“Faktor saya mempunyai penguasaan ilmu dalam persembahan lakonan juga secara tidak langsung menjadikan saya yakin dengan kemampuan ini dengan kepercayaan daripada penggiat seni tempatan.

“Tekanan itu sudah ada dalam diri saya sewaktu melangkah masuk dalam industri lakonan. Sebab itu saya tidak pernah ambil mudah dalam kerjaya ini.

“Seboleh-bolehnya saya juga mahu membuktikan mata mereka tentang nilai seorang pelakon yang ada ilmu formal,” kata Nadia lagi.

Katanya, dia sudah lama mempersiapkan diri untuk berdepan dengan dugaan dalam industri.

“Saya yakin kalau kita jujur dengan kerja kita, insya-Allah rezeki yang mendatang juga turut sama. Begitu juga dengan hal-hal lain dalam urusan harian.

“Tak perlu rasanya menggunakan jalan pintas untuk lekas popular. Sebab perkara itu tidak kekal dan bermusim,” katanya yang sentiasa ingat pesanan ibunya, apabila berada keluar dari rumah.

Nadia yang berikrar tidak akan membuka cerita peribadi kepada peminat, dengan sewenang-wenang, di harap dapat difahami peminatnya.

“Setiap kali saya melangkah keluar dari rumah, saya akan sentiasa mengingati pesanan ibu. Saya terhutang budi dengan dia yang bersusah payah membesarkan saya.

“Pengorbanannya sebagai ibu tunggal membesarkan saya dan adik beradik tidak ternilai. Kalau sekalipun saya silap langkah, saya mesti cepat tersedar.

“Kalau lambat, saya bimbang tindak tanduk saya itu akan menjejaskan air mukanya. Satu lagi, keizinan ibu yang memberi kebenaran kepada saya untuk memasuki bidang lakonan ini juga amat dihargai,” katanya yang menggemari budaya senaman.-6/1/2016 OLEH ZAINI ZAA

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 700  tetamu dalam talian