18Januari2019

Kesinambungan cerita punca peminat undi Sepah

sepahTIDAK dinafikan persaingan akhir yang membabitkan keempat-empat peserta pada malam final Maharaja Lawak pada malam Jumaat lalu berlangsung dalam keadaan yang cukup sengit kerana masing-masing memiliki kelebihan tersendiri untuk muncul juara. Misalnya, kumpulan Jozan dilihat berada di kelas yang tersendiri sejak bergandingan bersama dalam rancangan Raja Lawak selama empat musim, manakala Sepah pula cukup dikenali menerusi rancangan komedi mereka iaitu Bujang Sepah Lalalitamplom.

Nabil yang muncul satu-satunya sebagai peserta solo pula tidak boleh diketepikan memandangkan pernah dinobatkan sebagai bintang paling popular dan Jambu yang pada awalnya langsung tidak mendapat perhatian secara tiba-tiba sering tampil dengan aksi yang begitu menghiburkan saban minggu.

Namun, kejayaan Sepah untuk merangkul gelaran Maharaja Lawak adalah sesuatu yang cukup mengejutkan. Pesaing mereka iaitu Jozan sebenarnya dilihat sebagai calon pilihan untuk muncul sebagai juara sejak minggu yang pertama.

Malah, sebelum saingan akhir bermula, Jozan terus mendominasi kedudukan teratas menerusi undian yang diperolehi sebanyak 32 peratus, diikuti dengan Sepah (28 peratus), Nabil (25 peratus) dan Jambu (13 peratus).

Bagaimanapun, jangkaan awal ramai peminat untuk melihat Jozan merangkul gelaran Maharaja Lawak ternyata meleset sebaik Sepah diumumkan sebagai juara, manakala Jozan sekadar muncul naib juara, Nabil berada di tangga ketiga dan Jambu sekadar berpuas hati di tangga keempat.

Ternyata kejayaan Sepah yang dianggotai tiga orang anak muda iaitu Mohd. Noor Murad (Mamat), Shahmira Muhammad (Shuib) dan Mohd. Nazri Zainal Abidin (Jeff) itu tidak boleh disangkal berdasarkan kedua-dua persembahan pada malam tersebut.

Ditemui pada sesi sidang akhbar yang berlangsung selepas acara berakhir, Jeff yang mewakili rakan-rakannya dalam kumpulan Sepah berkata, mereka sebenarnya sangat terkejut dengan kejayaan yang diraih itu.

Menurut Jeff, kumpulannya itu sememangnya tidak pernah meletakkan sebarang harapan yang terlalu tinggi untuk bergelar juara memandangkan persaingan ketiga-tiga peserta yang turut memberi saingan sengit.

“Berjaya sehingga ke peringkat akhir adalah satu kejayaan yang cukup besar buat kami. Walaupun merasai sedikit tekanan, namun kami hanya mampu untuk melakukan dengan sebaik mungkin menerusi peluang yang telah diberi.

“Alhamdulillah, atas berkat doa kami yang tidak putus-putus akhirnya Allah telah memakbulkan doa kami untuk bergelar juara. Pada kami sudah tentu ini merupakan satu kejayaan yang tidak dijangka sama sekali,” jelasnya.

Menurutnya, matlamat awal mereka untuk menyertai rancangan Maharaja Lawak ini adalah mahu menghiburkan orang ramai dan sekadar menanam impian untuk beraksi sehingga ke peringkat akhir sahaja.

Ditanya mengenai dirinya yang sempat mengalirkan air mata sebaik Sepah diumumkan sebagai juara, Jeff menjelaskan dia sebenarnya merasa sangat terharu atas kejayaan yang telah diberikan oleh-Nya.

“Adakalanya sebagai seorang manusia biasa, saya tidak nafikan sering lalai untuk melaksanakan segala suruhan yang diwajibkan. Bagaimanapun, kami masih diberikan rezeki untuk bergelar juara dan itu yang membuat saya rasa terharu.

KESINAMBUNGAN cerita dari minggu sebelum final dibawa ke peringkat final yang berjaya mencuri hati peminat mengundi Sepah.

“Lagipun kami berkecimpung dalam bidang komedi ini bukan hendak mencari nama atau populariti, sebaliknya mahu mencari rezeki untuk membantu keluarga memandangkan kami ini berasal dari golongan keluarga yang sederhana,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi ahli kumpulan Sepah iaitu Shuib yang juga merupakan suami kepada penyanyi Siti Sarah menganggap kejayaan yang diraih ini adalah rezeki untuk isterinya yang kini sedang mengandung empat bulan.

Ujarnya, dia sendiri juga tidak menyangka Sepah akan muncul juara dan sebelum saingan akhir bermula, mereka mencapai kata sepakat untuk melakukan yang terbaik tanpa menghiraukan sebarang tekanan yang dilalui.

“Bayangkan selama empat malam sebelum acara akhir kami tidak dapat tidur yang cukup kerana terlalu memikirkan jalan cerita yang hendak disampaikan. Jadi kami memang rasa sangat tertekan dengan keadaan itu.

“Mungkin ada juga yang akan kurang percaya kalau kami katakan idea untuk kedua-dua persembahan hanya hadir beberapa jam sebelum acara akhir berlangsung. Itulah cabaran yang terpaksa kami lalui dan sangat bersyukur kerana segala usaha kami telah mencapai kejayaan,” ujarnya.

Selain berjaya merangkul gelaran Maharaja Lawak, kumpulan Sepah berjaya membawa pulang hadiah yang cukup lumayan iaitu wang tunai sebanyak RM350,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Kecewa

Biarpun diletakkan sebagai peserta pilihan untuk muncul sebagai juara, namun kumpulan Jozan yang diwakili Mohd Yazid Lim Mohd. Aziz (Johan) dan Mohd. Razizan Abd. Razak (Zizan) akhirnya sekadar berpuas hati mendapat tempat kedua.

Mengakui sedikit kecewa dengan kegagalan tersebut, Johan menjelaskan dapat terus bertahan sehingga layak ke peringkat akhir adalah satu kejayaan yang cukup bermakna buat mereka berdua.

“Kalau nak diikutkan perasaan kecewa itu saya sudah rasainya sejak awal-awal lagi kerana persembahan kami yang agak kurang menyerlah. Namun, kami telah berusaha dengan sedaya upaya agar tidak menghampakan peminat yang menyokong kami selama ini.

“Saya rasa kumpulan Sepah memang layak untuk bergelar juara memandangkan persembahan mereka yang konsisten setiap minggu. Walaupun sekadar membawa pulang wang tunai RM250,000, tapi bagi kami ia adalah hadiah yang cukup lumayan," ujarnya.

Sementara bagi Zizan pula, dia sangat berterima kasih kepada para peminat yang tidak jemu-jemu untuk menyokong dan mengundi mereka sehingga dapat beraksi ke peringkat akhir.

Menurutnya, tidak dinafikan memang ada peminat yang kecewa dengan kegagalan Jozan untuk muncul juara, tetapi mereka sudah melakukan yang terbaik dan terpaksa akur dengan keputusan yang telah dibuat.

Sewaktu kami diumukan sekadar muncul naib juara, saya ada melihat tempat duduk penyokong kami dan terdapat kekecewaan pada riak wajah mereka. Namun, kami tetap bersyukur dengan rezeki yang telah diperoleh ini,” ujarnya.

Sokongan peminat

Merupakan satu-satunya peserta solo yang layak beraksi sehingga ke peringkat akhir, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil mengakui dia terpaksa berhadapan cabaran yang cukup besar untuk bersaing dengan tiga buah kumpulan.

Menurut Nabil, mulanya dia menjangka akan tersingkir pada minggu yang pertama lagi berdasarkan persembahan mantap kesemua peserta yang bertanding dalam rancangan Maharaja Lawak ini.

KUMPULAN Sepah menjadi juara sulung program Maharaja Lawak yang menghimpunkan juara-juara dari program Raja Lawak terdahulu.

“Memang bukan mudah untuk peserta solo seperti saya dapat meneruskan saingan kerana peserta berkumpulan mempunyai kelebihan kerana setiap ahli kumpulannya ada peminat masing-masing.

“Jadi, saya merasakan peminatlah yang banyak berjasa sehingga saya dapat terus bertahan ke tahap ini. Tanpa sokongan mereka, sudah tentu saya tidak akan beraksi di pentas final,” ujarnya.

Sementara itu, kejayaan kumpulan Jambu untuk berada dalam kelompok empat yang terbaik merupakan satu kejayaan yang cukup bermakna buat Yusry Edoo (Yus) dan Zamaratul Amri Zakaria (Taukeh).

Meskipun sekadar berada di kedudukan yang keempat, bagi mereka ia adalah satu kejayaan dan kepuasan yang tidak ternilai memandangkan mereka bukanlah antara peserta pilihan pada awal-awal rancangan Maharaja Lawak.

“Memang diakui ketika kami mula menyertai rancangan ini, kumpulan Jambu bukanlah menjadi perhatian ramai. Namun dengan peningkatan persembahan yang ditunjukkan saban minggu, kami semakin mendapat sokongan ramai.

“Walaupun pada awalnya persembahan kami menunjukkan peningkatan dan semakin merosot sejak dua atau tiga minggu yang terakhir, tetapi usaha yang berterusan dan sokongan peminat setia banyak membantu untuk kami untuk layak beraksi di pentas akhir,” jelas Taukeh.

Ditanya mengenai kemerosotan persembahan mereka, Yus menjelaskan bahawa salah satu puncanya adalah disebabkan masing-masing sibuk dengan jadual lakonan sehingga membataskan masa untuk mereka bersama.

Dengan kejayaan menduduki tangga yang ketiga dan keempat, setiap peserta membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM150,000 dan RM50,000 berserta trofi sumbangan pihak Astro.-26/6/2011 -Kosmo

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 435  tetamu dalam talian