17Januari2018

Elyana takut hendak tidur malam...

"Saya fobia hendak tidur malam kerana takut tidak dapat melihat dan berjumpa dengan anak saya lagi. Itu saja ketakutan saya hampir setiap hari,".

Itu luahan hati penyanyi dan pelakon, Erneelya Elyana Emrizal, 30, ketika ditemui media selepas mengejutkan penonton Gegar Vaganza musim keempat (GV4) apabila mengumumkan dia menghidap kanser limfoma (kanser kelenjar) tahap empat.

Pengumuman itu dibuat Elyana sebaik namanya diumumkan tersingkir dari program realiti hiburan terbitan Astro Ria itu di Dewan Sri Putra, Kuala Lumpur, malam tadi.

"Semenjak menghidap penyakit ini saya dibayangi rasa takut untuk tidur malam.

"Kalau saya tidur, jantung boleh terhenti dengan tiba-tiba dipercayai kerana kesan penyakit ini. Sampaikan saya sanggup bersengkang mata kerana takut tiada hari esok untuk saya," luahnya.

Setelah tujuh tahun merahsiakan penyakitnya itu, Elyana merasakan sudah tiba masanya untuk memberitahu kepada para peminat yang sudah lama menyokongnya sejak diawal pembabitan karier seninya.

"Sudah tujuh tahun saya merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan mereka. Saya berasakan cukuplah selama ini saya mendiamkan perkara ini daripada pengetahuan mereka.

"Sepanjang tujuh tahun saya menghidap kanser, saya cuba mencari cara dan waktu terbaik bagaimana saya mahu memberitahu kepada peminat. Dan saya berasakan apabila saya tersingkir dari GV4, ia adalah satu peluang," katanya.

Kata penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kalis Rindu itu, dia juga berasakan perlu memberitahu umum memandangkan ramai yang membuat dakwaan dan menuduh dia sombong dan tidak lagi mahu menyanyi.

"Sebaik disahkan doktor saya menghidap kanser selepas melahirkan Cinta Sumayyah tujuh tahun lalu saya menghilangkan diri bagi membolehkan menjalani rawatan.

"Waktu itu memang saya tidak melayani sebarang permintaan peminat dan menolak tawaran yang datang. Disebabkan itu ada pihak sudah beranggapan saya sombong dan sudah berhenti menyanyi. Sedangkan perkara itu tidak berlaku," katanya.

Jelas Elyana sepanjang tempoh tujuh tahun itu, dia telah berusaha untuk menjalani rawatan di dalam dan luar negara.

"Bagaimanapun buat masa ini saya menghentikan rawatan di hospital buat sementara waktu dan mencuba rawatan alternatif," katanya.

Kata Elyana apabila ditanya dari mana dia memperoleh kekuatan sepanjang tujuh tahun berhadapan dengan penyakit kanser, jelasnya ia datang daripada Allah SWT.

"Kalau ikutkan saya tidak kuat," katanya yang turut meluahkan rasa lega apabila dapat berkongsi mengenai penyakit yang dideritai bersama keluarga, teman rapat dan peminat.

Baginya, dia tidak mahu peminat dan masyarakat terkesan dengan penyakit yang dihidapi.

"Saya tak mahu kongsi perkara yang membuatkan orang jadi sedih dan sebolehnya saya mahu semua orang gembira sahaja.

"Hanya keluarga dan rakan-rakan rapat yang tahu tentang penyakit ini.

"Selepas pengumuman ini, saya berharap mampu membuka masyarakat mengenai penyakit kanser dan menjaga kesihatan sebaiknya," katanya.-27/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 650  tetamu dalam talian