15November2018

Elvina bergelar datin pada usia 23 tahun...

Rezeki masing-masing... pendatang baru dunia hiburan yang juga pelakon Cinta Si Wedding Planner, Elvina Mohamad, 23, kini bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan juga selebriti sukan permotoran, Datuk Mohd. Haniff Borhan, 32.

Pernikahan mereka berlangsung dalam sebuah majlis ringkas di Taman Mahsuri Courtyard, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Elvina atau nama penuhnya, Norzalina Mohamad dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Asy Syakirin Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Mohd. Radhi Abdul Ghani dengan disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua mempelai.

Pelakon drama Jojie Gigil yang anggun menyarung persalinan berona putih rekaan daripada Inderaloka itu menerima mas kahwin berjumlah RM700.

Elvina turut menerima senaskhah al-Quran bagi menggantikan wang sebagai hantaran berserta tujuh dulang daripada pihak lelaki sebelum dibalas sembilan dulang daripada pihak perem­puan.

Pasangan yang berkenalan sejak dua tahun lepas itu mula menjalin hubungan cinta sejak setahun lalu terlebih dahulu mengikat tali pertunangan sebelum majlis ijab dan kabul berlangsung.

“Alhamdulillah majlis berjalan lancar. Sudah tentu saya gembira tetapi seperti tidak percaya pula sudah bergelar isteri orang,” ujar Elvina yang membuat keputusan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan kira-kira tiga bulan lalu.

Bercerita mengenai wang hantaran, Elvina mempunyai alasan tersendiri apabila memilih senaskah al-Quran untuk dijadikan sebagai hantarannya.

“Perkahwinan itu mudah dan mengapa kita mahu menyusahkan dengan meletakkan jumlah wang hantaran yang tinggi. Sebenarnya perihal wang hantaran ini saya serahkan kepada pihak lelaki.

“Pihak lelaki memilih untuk memberikan senaskah al-Quran sebagai wang hantaran dan keluarga saya menerimanya. Tidak perlu wang hantaran yang tinggi, cukup dengan al-Quran pun kita boleh mendirikan masjid,” katanya.

Pasangan merpati dua sejoli itu juga bakal diraikan dalam satu majlis resepsi bertemakan fantasi pada 24 Mac ini di lokasi sama, manakala majlis berinai yang bertemakan Bollywood telah berlangsung di A-Park, Puchong, Selangor pada Jumaat lalu.-22/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 925  tetamu dalam talian