15November2018

Drama Syurga Nur ubah peribadi Janna

Pelakon baru di skrin TV, Janna Nick mengakui penglibatannya mendokong watak Nur dalam drama episod Syurga Nur banyak memberi pendedahan kepada kariernya sebagai anak seni.

Menyedari hal itu,  Janna Nick atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner terkesan kerana dia masih belum ramai yang mengenalinya sebagai pelakon.

Namun anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini, berikrar akan  memastikan dapat menimba pengalaman sebanyak mungkin dan mempelajari pelbagai aspek lakonan dari pelakon yang senior.

Pelapis  baru yang selesa dengan  nama komersilnya Janna Nick ini berkata:  “membawakan watak yang diberikan sebaik mungkin dan  sedar perlu menitik beratkan beberapa perkara agar dapat diterima di kalangan produksi yang sudah ada nama dan berpengalaman luas dalam bidang ini”.

Tambah gadis berusia 20 tahun ini, dia akan memberi seratus peratus ketika menghidupkan watak sepanjang penggambaran.

“Saya sedar, sebagai orang baru, saya perlu menjaga banyak perkara seperti cuba deliver watak yang diberikan dengan sebaik mungkin, memberikan seratus peratus komitmen terhadap kerja dan datang ke lokasi penggambaran tepat pada waktunya.

“Saya sedaya upaya mengelak daripada menimbulkan masalah kepada pihak produksi. Yalah, kita kan bekerja sebagai satu team jadi dengan cara ini, saya rasa lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan team produksi yang ada banyak pengalaman ini,” kata pelakon yang berdarah kacukan Melayu, Cina, Pakistan dan Thai.
   
Janna mula melangkah kaki ke dunia lakonan sejak dua tahun lalu, dalam usia 18 tahun, selepas dia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai pelakon tambahan dalam telemovie Cinta Vlog.

Sehingga kini sudah muncul dalam beberapa drama TV seperti drama Jodoh 2, Anak Ke-5, HidayahMu Ramadan, Puasa Oh Puasa, Abang Sado Jemur Kain selain telemovie Ikatan.

“Alhamdulillah, berpeluang bekerja dengan Kak Sheila, saya tidak ada masalah bekerjasama dengannya. Sebaliknya, dia yang banyak mengajar saya bagaimana untuk lebih menghayati watak Nur.

“Maklumlah, di luar set, perwatakan sebenar saya tidak macam watak Nur yang ayu, lemah-lembut dan banyak bermain dengan emosi. Sedangkan perwatakan saya yang sebenar, lebih kasar, kelakar dan lebih bersahaja.

“Jadi untuk menghidupkan watak Nur, saya terpaksa mengubah karaktor saya.

“Kak Sheila lah yang banyak mengajar saya bagaiamana nak merealisasikan lagi watak Nur. Sehinggakan cara saya berjalan dan bercakap pun Kak Sheila perbetulkan agar sesuai dengan karaktor Nur yang ayu dan lemah-lembut itu,” katanya.

Bersyukur kerana semakin mendapat perhatian produser drama TV khasnya pada tahun ini, Janna menganggapnya sebagai rezeki melimpah luah.

Drama terbarunya selepas Syurga Nur, bakal menyaksikan Janna di dalam drama Isteriku Miss Sally bersama aktor Hafreez Adam.

“Saya berterima kasih kepada Azman Yahya (Jinggo) memberi kepercayaan  memegang watak utama sebagai Nur Jannah bergandingan dengan Amar Asyraf, “ kata bekas pelajar Maktab rendah Sains Mara (MRSM) di Pendang, Kedah ini.

Menyentuh pengalaman berlakon di samping Sheila Rusly, dia yang pernah muncul dalam klip video lagu Kayangan dari kumpulan Hyper Act, berkata bekerja dengan pelakon berpengalaman ini buat kali pertama, gementar.
    
“Saya akui gementar untuk berhadapan dengan aktres berpengalaman itu di hadapan kamera. Sebagai orang baru dalam industri ini, memanglah saya berperasaan begitu.

“Ini membuatkan saya rasa rendah diri dan bimbang kalau-kalau timbul sebarang masalah sekiranya saya tidak dapat deliver watak yang saya lakonkan bersama akak Sheila.

“Ini kerana saya asih dalam proses belajar berlakon, digandingkan pula dengan seorang pelakon senior yang cukup berpengalaman. Pastilah rasa takut-takut juga.

“Sebelum ini, watak-watak yang saya pegang lebih rileks kerana drama-drama saya dulu semuanya cerita komedi.

“Tetapi untuk Syurga Nur, saya perlu mengeluarkan emosi dalaman saya. Mulanya, sukar juga tapi apabila Kak Sheila banyak bombing saya macam mana nak keluarkan emosi itu, barulah saya lebih berkeyakinan memegang watak ini,” kata Janna lagi.

Syurga Nur ditonton ramai peminat bersiaran setiap jam 7.00 malam, Isnin hingga Khamis menerusi slot Akasia TV3 terbitan JS Pictures, arahan Azman Yahya (Jinggo) membariskan pelakon seperti Amar Asyraf, Raja Ilya, Azrel Ismail, Dayana Roza dan Erwin Dawson.-17/8/2015 OLEH ZAINI ZAA

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 827  tetamu dalam talian