18Januari2019

Bukan mudah bawa watak peguam - Farid Kamil

Pelbagai watak pernah dihidupkan pelakon Farid Kamil bermula di persada skrin bermula drama siri TV berjudul Fakulti pada 2000 hingga kini.

Namun sepanjang karier 16 tahun bergelar anak seni, barulah pada tahun ini impiannya membawa watak sebagai peguam tercapai.

Farid atau nama sebenarnya Farid kamil Zahari, 35, berkata teruja saat menerima skrip drama tersebut.

Bagaimanapun suami kepada pelakon Diana Danielle ini, menambah bukan mudah membawakan watak sebagai peguam syarie.

“Bila Hakim kata cara lakonan saya itu sudah layak menjadi seorang peguam, makin terujalah saya dibuatnya.

“Bila dapat sahaja watak sebagai peguam, saya terus melagakkan diri saya dengan watak itu. Tetapi hakikat sebenarnya, bukan mudah untuk membawa watak peguam.

“Banyak perkataan baru yang saya perlu belajar dan penghayatannya juga sedikit berbeza,” kata Farid yang memulakan kerjaya seni sebagai model majalah.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini, sebenarnya kali pertama melangkah ke layar putih pada 2003, apabila pengarah prolifik A Razak Mohaideen, menawarkan watak pembantu menerusi filem Mistik.

Antara deretan drama TV, telefilem serta filem yang menampilkannya sebagai pelakon ialah Begitulah Cinta, Takdir Yang Terindah, Enigma, Tiga Janda, Cinta Tikar Sejadah selain filem 7 Perhentian, Remp-It, Anak Halal, Evolusi KL Drift, Estet, Papadom dan sebagainya.

Mengenai watak peguam dalam drama bersiri Qanun 99, terbitan KL Motion Picture, pelakon ini berkata dia tidak menafikan watak itu pernah menjadi kerjaya idamannya sewaktu kecil.

“Ini pertama kali saya menggalas watak sebagai peguam. Saya akui ia sedikit mencabar, walaupun peguam menjadi kerjaya idaman saya sewaktu saya kecil.

“Bukan mudah untuk membawa watak sebagai peguam syarie, banyak perkataan baru yang saya perlu belajar dan penghayatannya juga sedikit berbeza.

“Tambahan pula kes-kes dalam setiap episod yang dipaparkan di dalam program ini juga agak berat, jadi ia membuatkan otak kita penat.

“Pernah jugalah satu hari, saya balik rumah daripada set dan minta Diana diam dan tidak banyak bertanya kerana tidak mahu diganggu. Diana pun faham,” kata anak sulung daripada lima beradik ini.

Mengulas mengenai Qanun 99, Farid memberitahu drama tersebut benar-benar membuka matanya tentang permasalahan rumahtangga di Malaysia.

“Kesemua bahan kes yang dipaparkan di dalam program ini  kes-kes yang benar dan terjadi di dalam mahkamah syariah.

“Antaranya kes remaja usia 14 tahun yang mahu berkahwin dan satu lagi kes paling mengejutkan apabila seorang suami menyedari dia sebenarnya telah berkahwin dengan seorang lelaki setelah 4 tahun bersama,” dedah Farid.

Pelakon yang pernah bahagia dengan kehadiran dua cahaya mata; Muhammad dan Aurora, berkata inilah kali kedua dia bergandingan dengan pelakon Yana Samsuddin. Kali pertama menerusi filem Aku Masih Dara yang ketika itu di bawah bumbung produksi yang sama iaitu Metrowealth MiG.

Sementara itu, Yana yang memegang watak Zahara, berkata dia mengakui selepas bergelar adik ipar kepada Farid, dia berasa kekok untuk berlakon dengan lelaki itu.

"Saya juga pernah bergandingan dengan Farid dalam beberapa filem seperti Aku Masih Dara. Sudah lama tidak berlakon bersama, kini kami bertemu semula dalam Qanun 99,” kata Yana.

Farid, pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Layar (Kepujian) Dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini, pernah mencipta sejarah sendiri di pentas pengarahan.

Buat pertama kalinya dia mengarah filem berjudul Remp-It, tetapi ditukar nama kepada V3 Samseng Jalanan. Entah kenapa, selepas itu, tiada lagi filem arahannya.

Drama bersiri Qanun 99 sentuhan pengarah Syed Khairul Fariz dan Amirul Fadhli ini ditayangkan di Astro Oasis dan Maya HD setiap Jumaat jam 7.30 malam bermula 5 Februari lalu.

Antara 13 episod  drama ini ialah Nikah Haram, Talak 133, Siti Muslihat, Lara Seorang Ibu dan sebagainya.-22/2/2016 OLEH ZAINI ZAA

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 542  tetamu dalam talian