16Disember2017

Afdlin Shauki sertai Misi Bantuan Pelarian Syria

Pelawak dan penerbit, Afdlin Shauki bakal melaksanakan misi kemanusiaan iaitu Misi Bantuan Pelarian Syria di Lubnan pada 10 Jun ini bagi memberi bantuan dalam bentuk kewangan, makanan dan ubat-ubatan.

Afdlin yang tersentuh hati dengan nasib pelarian Syria itu membuat perancangan teliti untuk membantu menerusi Yayasan Afdlin Shauki dan Yayasan Kubra sejak beberapa bulan lalu.

“Saya sayu dan sedih apabila mendengar pelarian Syria di sana hanya berbuka puasa dengan merebus rumput!,” luahnya.

“Walaupun sebahagian besar warga Syria ini mampu untuk bekerja, mereka tidak dibenarkan untuk melakukan apa-apa disebabkan status sebagai pelarian.

"Jadi, cara pelarian ini untuk terus hidup adalah dengan bantuan sahaja. Kalau tiada siapa yang membantu, hidup mereka bertambah daif.

“Sebab itu, kutipan dana masih diteruskan walaupun selepas tamatnya misi kemanusiaan ini,” katanya yang akan ke sana selama tujuh hari.

Bakal berdepan dengan cuaca musim panas, Afdlin mengakui tidak membuat sebarang persediaan sebaliknya hanya reda dengan qada dan qadar ALLAH SWT.

“Ini adalah pengalaman pertama saya ke Lubnan dan melakukan misi kemanusiaan pada bulan puasa.

“Insya-ALLAH, ia tidak akan mendatangkan sebarang masalah berdasarkan beberapa pengalaman lain sebelum ini.

“Apa-apa pun, saya percaya kepada konsep reda dan tawakal dengan apa yang berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, bintang filem Papadom ini bersyukur apabila mendapat kebenaran daripada ibunya, Fadzilah Jelani dan keluarganya untuk melaksanakan misi kemanusiaan ini.

Sebelum ini, saya pernah dihalang oleh ibu dan keluarga untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Yaman, kerana berlaku insiden pengeboman oleh Amerika Syarikat (US) sehari sebelum bertolak ke sana.

“Saya memang tidak suka berfikir bukan-bukan, kerana saya suka mencabar diri sendiri. Kalau orang lain mampu buat kenapa saya tidak?

“Tetapi, saya juga sangat menitikberatkan restu daripada ibu dan keluarga,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Pendidikan dan Kebajikan Yayasan Kubra melalui akaun Bank Islam 14023010012816 (notakan ‘4 Syria).-9/6/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 980  tetamu dalam talian