14November2018

23 artis selamat pulang dari tunai umrah...

Seramai 23 orang rombongan penggiat seni yang mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah, Arab Saudi selamat pulang ke tanah air sekitar pukul 11 pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Rombongan tersebut yang berangkat pada 26 Januari lalu disertai daripada penggiat seni veteran terdiri daripada artis, karyawan, budayawan serta wartawan hiburan.

Ia merupakan inisiatif daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi peluang kepada barisan artis veteran untuk mengerjakan ibadah umrah pada bulan Ramadan tahun lalu.

Program ini direalisasikan oleh Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih.

Menurut Pegawai Eksekutif Yayasan Perdana Ummah, Datuk Rizal Mansor, pihaknya bersyukur dengan kepulangan rombongan tersebut ke tanah air selain berbangga dapat merealisasikan hajat setiap artis yang terlibat.

“Kami di pihak Yayasan Perdana Ummah cuma pemudah cara sahaja kerana idea ini datang daripada Perdana Menteri. Jadi kami sangat bersyukur kerana dapat menguruskan rombongan istimewa ini.

“Insya-Allah, selepas ini kami akan menghantar satu lagi rombongan ke tanah suci. Kemungkinan pada bulan Mac atau April depan,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Antara yang terlibat dalam rombongan ini ialah Hamid Gurkha, Zaiton Sameon, Aida Agil, Shima, Sahara Yaakob, Zaleha Hamid, pengarah drama, Hamid Abidin dan penulis novel terkenal, Baharuddin Kahar.

Sementara itu, menurut Hamid Gurkha, ini merupakan kali ketiga dia mengerjakan umrah tetapi tetap berasa teruja dan bangga kerana dapat kembali menjejakkan kaki ke tanah suci.

“Syukur alhamdulillah dengan segala nikmat diberikan Tuhan. Terima kasih kepada Perdana Menteri yang membuka peluang kepada golongan artis veteran seperti kami untuk mengerjakan ibadah umrah,” ujarnya.-6/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 524  tetamu dalam talian