20Ogos2017

PRU14: Zambry pindah kerusi Parlimen... ?

Pada ketika suhu politik di Perak berada ibarat suam-suam kuku, Menteri Besar (MB), Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir mencetuskan polimik baru mengenai kedudukan dan masa depan kareer politiknya.

Kenyataan beliau yang membayangkan beliau bersedia bertanding di kawasan parlimen dengan tidak mempertahankan DUN Pangkor segera mencetuskan perbahasan panas.

Beliau adalah ADUN Pangkor sejak 2004 dan dilantik MB pada 2009 selepas selesai krisis politik Perak yang menyaksikan berakhirnya pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.

Sepanjang  krisis yang dilihat paling teruk dalam sejarah politik Perak membabitkan proses perundangan dan sebagainya sehingga mengheret pihak Istana Zambry muncul hero. Ia terus dilihat sebagai penyelamat bagi UMNO di negeri ini. Dan pemilihannya sebagai MB ke11 satu pilihan maha bijak.

Soalnya jika dia ke parlimen  di manakah kawasan  bakal beliau bertanding kerana parlimen Lumut, yang mana beliau Ketua UMNO bahagiannya milik MCA.

Lagipun dari satu perspektif   sekalipun MCA bersetuju memberinya laluan bertanding di Lumut, peluang untuk menang dilihat tidak cerah.

Parlimen Lumut tidak lagi menjadi kawasan selamat buat BN berbanding sebelum 2008.  

Justeru bagi  mengelak satu lagi trajedi politik beliau tidak ada pilihan melainkan terpaksa mencari kawasan selamat. Soalnya di mana? Gerik, Kuala Kangsar ataupun Lenggong?

Kita lihat jika diterjemah kenyataan asalnya  bererti Perak bakal mempunyai MB yang baru selepas PRU ke14 kelak. Soal siapa penggantinya  akan ditentukan oleh pucuk pimpinan, Zambry sendiri tidak upaya.

Macam jugalah kedudukannya di peringkat pusat sama ada akan diberi sebarang kepercayaan menjadi menteri atau sekadar timbalan bergantung kepada budi bicara Perdana Menteri. Kadang kala apa yang dihajati tidak menjadi kenyataan.

Dalam konteks ini terpulang kepada Perdana Menteri menentukan arah tuju politik Zambry. Secara peribadi beliau hanya boleh berdoa agar tidak tercicir dari hiraki politik nasional.  Inilah risiko yang harus dihadapi sesiapa saja jika dibawa ke pusat seperti  diperlihat sejarah.

Isu Zambry bertanding di kawasan parlimen bermula lama dulu lagi iaitu pada PRU ke13 pada 2013. Tapi ketika itu kita boleh faham kerana isu-isu begini memang sesuatu yang lumrah lebih-lebih lagi pada ketika musim pilihanraya.

Bagaimanapun pada ketika itu Zambry terselamat dari “dipindah” ke pusat apabila beberapa menteri kanan dari Perak mempertahankan agar Zambry dikekalkan.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Nazri Aziz merupakan dua pemimpin tempatan yang menyokong Zambry dikekalkan.

Tapi itu dulu dan Zambrypun ketika itu baru sepenggal di Perak sebagai MB bukan macam sekarang. Lagipun beliau mempunyai track rekod yang cemerlang untuk dikekalkan.

Untuk rekod belum jelas Zambry bakal berpindah kawasan. Kenyataannya tempoh hari hanyalah menjawab soalan bukannya mengeluarkan kenyataan rasmi. Ia  bermula apabila  Zambry macam biasa menjawab soalan wartawan.

Dan menganggap ia macam soalan biasa seperti isu sampah atau isu-isu berkaitan pentadbirannya. Beliau tidak menduga soalan itu mencetuskan polimik.

Malangnya umum tidak melihat dari perspektifnya. Bagi yang mengidamkan jawatan MB pula, isyarat ini sudah lebih dari mencukupi bagi mereka  menyusun strategi. Dan bagi yang melihat Zambry akan mengambil kawasan parlimen mereka, tentulah mereka diterjah kebimbangan.

Bahkan ada pemimpin wanita UMNO peringkat bahagian memberi amaran “tidak” akan menerima Zambry ke kawasan mereka jika takdirnya Perdana Menteri mahukan Zambry bertanding parlimen.

Sementara reaksi ini dilihat bersifat emosi bukannya sesuatu yang serius kenyataan Zambry bertanding di parlimen itu sendiri suatu yang terlalu awal. Kita tidak menyalahkannya tetapi apapun nasi sudah jadi bubur.

Terdapat menteri besar atau ketua menteri yang dibawa ke pusat tetapi tidak segera dilantik ke jawatan menteri penuh. Ada yang sekadar bermula sebagai Setiausaha Parlimen ataupun Timbalan Menteri sebelum dipencenkan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin bernasib baik dilantik Perdana Menteri ke jawatan bertaraf menteri penuh apabila ditarik ke pusat. Terdahulu beliau dibawa pulang ke Johor sebagai Menteri Besar.

Dalam konteks Zambry masa depannya didalam tangan Perdana Menteri. Kalau PM mahu dia kekal maka kekallah di Ipoh begitulah sebaliknya. Beliau tidak ada pilihan eksekutif untuk menentukan siapa penjawat jawatan MB.

  Bagi berlaku adil kepada semua pihak kita petik kembali penjelasan dibuat Zambry sehari selepas mencetuskan satu polimik. Menjawab soalan media di Kampar, beliau berkata:“Semalam dalam siri program saya Selamat Pagi Perak, saya ditanya mengenai hal ini, bukannya saya mengeluarkan kenyataan.

“Pada ketika ini, adalah terlalu awal untuk kita bicarakan soal saya pindah atau tidak, jadi Menteri Besar atau tidak. Presiden Parti dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mengarahkan kami untuk melakukan persiapan PRU yang akan datang.

“Jadi persiapan pada peringkat ini adalah memperkemaskan jentera dan juga melihat dari segi calon-calon yang berpotensi untuk menjadi wakil rakyat,”katanya.

“Ianya terlalu awal untuk komen tentang perkara ini, jadi adalah lebih baik kita beri fokus kepada strategi dan jentera kita terlebih dahulu.

“Apabila dah sampai waktu, dan Presiden parti pun mengumumkan dimana saya bertanding maka barulah kita akan membicarakan tentang hal ini."

Beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan  sama ada terus mengekalkannya  MB atau dipindahkan bertanding kerusi Parlimen pada PRU ke14 kelak.

Katanya  beliau bukannya mengesahkan (confirm) bercadang hendak berpindah (ke parlimen) tetapi isu ini cuba disensasikan oleh media.

“Saya ditanya, apakah Datuk Seri akan menjadi Menteri Besar lagi ataupun bercadang nak pindah (ke pusat), saya sebutkan bahawa itu bergantung kepada pucuk pimpinanlah.Takkan saya nak kata, saya tetap nak jadi Menteri Besar, takkanlah nak sebut macam tukan ataupun yes, saya dah tak nak, saya (nak) pergi ke Parlimen, . . . . saya tidak menjawab begitu.Saya sebutkan dalam politik ini, perkara itu biasalah tetapi apapun kita bergantung kepada kelulusan,” katanya.

Katanya lagi di peringkat ini, adalah terlalu awal untuk membicarakan soal pindah, beliau menjadi MB atau orang lain.“Ini disebabkan oleh persiapan kami, YAB Presiden parti dan Pengerusi BN telah arahkan kami untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang.

“Jadi persiapan untuk peringkat ini ialah untuk perkemaskan jentera parti dan juga melihat dari segi calon- calon yang berpotensi untuk menjadi wakil rakyat,” katanya.

 Isu ini walau dari sudut mana sekali pun dilihat  ianya tidak akan berhenti macamlah angin yang sentiasa berhembus. Yang jelas kenyataan Zambry terjawab melalui kenyataan terbaru dibuat pada Selasa. Ia menangkis sebarang spekulasi buruk bagi mereka yang menangguk di air keruh.

Dalam politik hal-hal begini jauh lebih menarik untuk dibualkan dari isu-isu pembangunan yang cuba dibawanya sejak bergelar YAB. Justeru beliau harus menerima hakikat ini.-15/2/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 789  tetamu dalam talian